CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Rabu, 13 Mei 2009

Malaysia ke Separuh Akhir

Tengku Ahmad Tajuddin (tengah) meraikan jaringannya ketika membantu Malaysia menewaskan Jepun 4-1 di Stadium Hoki Wisma Belia, Kuantan, petang semalam.

Temu Pakistan rebut tiket final 

TIKET ke separuh akhir disahkan skuad hoki negara, semalam buat menyalakan impian besar mahu beraksi di Piala Dunia 2010 selepas anak didik Tai Beng Hai menjelmakan perwatakan garang membaham Jepun 4-1 dalam saingan Kumpulan A, Kejohanan Piala Asia di Stadium Hoki Wisma Belia, Kuantan, semalam. 

Kemenangan luar jangkaan itu membantu Malaysia muncul naib juara kumpulan untuk menentang Pakistan – juara Kumpulan B dalam kelompok empat terakhir, esok.

Satu lagi saingan separuh akhir membabitkan juara Kumpulan A, Korea Selatan yang tanpa ihsan membelasah pasukan kerdil, Bangladesh 9-0 untuk berentap naib juara Kumpulan B, China yang seri 2-2 dengan juara bertahan, India. 

Ketika hanya perlu mengutip satu mata untuk layak, tuan rumah sebaliknya menceriakan lebih 1,000 penyokong dengan aksi agresif sambil memberi isyarat kepada Korea, Pakistan dan China bahawa semangat mereka kini membara mahu layak ke Piala Dunia di India, tahun depan. 

Beng Hai membuat rumusan bahawa punca kemenangan itu adalah hasil komitmen setiap pemain yang berjaya melaksanakan segala perancangan taktikal untuk mengatasi Jepun - sekali gus merampas tiket ke separuh akhir.

"Saya gembira kami dapat menepati sasaran PHM (Persekutuan Hoki Malaysia) layak ke separuh akhir dan ada satu lagi tugas besar merancang strategi menentang Pakistan nanti, terutama menyekat Sohail (Abbas) yang menjadi ayam tambatan mereka. 

"Apapun, setiap pemain berfungsi baik malam ini (semalam) dan saya memuji komitmen mereka yang ikut apa saya minta untuk menewaskan Jepun yang memberi kami saat sukar sepanjang tempoh permainan," katanya. 

Malaysia hanya memerlukan empat minit untuk membuka jaringan menerusi Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil. Gol berpunca daripada hantaran cantik Kelvinder Singh di sebelah kanan kawasan lawan yang disudahkan Tengku Ahmad Tajuddin. 

Selepas memainkan peranan sebagai pencipta gol, Kelvinder kemudian muncul penjaring gol kedua pada minit ke-33 apabila melakukan pukulan kencang yang gagal disekat benteng Jepun.

Jepun cuba menjelmakan kebangkitan pada babak kedua apabila merapatkan jurang menerusi jaringan Ryuji Furusato, minit ke-41, namun jaringan Chua Boon Huat (m-59) dan S Silvarajoo (m-67) mengesahkan kemenangan mutlak buat skuad negara.

0 Komen Anda: