CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Ahad, 29 Mac 2009

Hafiz ke final Terbuka India



Julia, Tan Fook-Wan Wah turut mara mengejar gelaran kali ini

SELEPAS hampir tiga tahun tanpa gelaran antarabangsa, tiba-tiba juara Seluruh England 2003, Hafiz Hashim tampak berpeluang untuk menamatkan kemarau itu selepas gah melangkah ke final perseorangan lelaki Terbuka India dengan menewaskan Chen Long dari China 21-18, 19-21, 21-15 pada saingan separuh akhir di Hyderabad, semalam.

Untuk menjadikan malam indah buat skuad badminton negara, dua lagi wakil negara - Julia Wong dan bekas beregu utama kebangsaan, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah juga mara ke perlawanan akhir bagi edisi kali ini dalam acara perseorangan wanita dan beregu lelaki.

Apapun, tumpuan terarah kepada kelibat Hafiz, yang tampak lebih bertenaga dan cergas, serta menampilkan sentuhan yang pernah menjulangnya dirinya selaku juara Seluruh England dan Sukan Komanwel 2002, dengan menjinakkan Chen Long, bekas juara remaja dunia dari China, yang mengejutkan Lee Chong Wei di pusingan pertama, Selasa lalu.

Kali terakhir Hafiz menjuarai gelaran antarabangsa dan mara ke perlawanan akhir ialah pada 28 Mei 2006 di Terbuka Filipina dengan menewaskan abangnya Roslin. Kini penghalang kepada cita-cita besar pemain negara itu adalah jaguh Indonesia Taufik Hidayat yang layak ke final menundukkan rakan senegaranya, Tommy Sugiarto 21-13, 21-11 dalam satu lagi saingan separuh akhir.

“Hafiz memang pemain bagus sejak dulu lagi. Cuma dia tidak memberi komitmen penuh ketika latihan dan mungkin sudah puas hati dengan apa dicapainya ketika ini,” kata ketua jurulatih Rashid Sidek. “Kalau dia nak menang tidak ada masalah, cuma antara mahu atau tidak saja.

“Saya harap dengan mara ke final ini Hafiz akan lebih bertekad untuk merangkul gelaran esok (hari ini) menentang Taufik dan saya berharap Hafiz akan lebih konsisten.

“Julia pula sudah mula yakin tetapi perlu mengawal rasa gemuruh kerana lawannya dalam perlawanan akhir Pi Hongyan (Perancis) amat berpengalaman.

“Tetapi Julia pernah menewaskan Hongyan dan ini bererti peluang untuknya menang tetap ada,” kata Rashid, yang menyambut kelahiran anak ketiganya (lelaki), malam semalam.

Julia, pilihan kelima kejohanan mara ke perlawanan akhir pertama sejak Terbuka Macau, Oktober tahun lalu selepas menewaskan pemain China, Zhang Beiwen 19-21, 21-13, 21-15 untuk bertemu Hongyan yang menewaskan pemain Jepun, Yu Hirayama 21-7, 21-14.

Bekas beregu utama negara Choong Tan Fook Lee-Wan Wah yang melangkah ke final pertama sejak menjuarai Terbuka Vietnam, Disember lalu menewaskan Joko Riyadi-Candra Wijaya dari Indonesia 21-6, 22-20 untuk bertemu gandingan Singapura, Hendri Kurniawan Saputra-Hendra Wijaya yang terdahulu menewaskan pasangan Indonesia, Alvent Yulianto-Hendra Gunawan 21-13, 21-15.

KEPUTUSAN: Separuh Akhir Perseorangan Lelaki
Taufik Hidayat (Ina) mn Tommy Sugiarto (Ina) 21-13, 21-11. HAFIZ HASHIM (MAS) mln Chen Long (Chn) 21-18, 19-21, 21-15

Perseorangan Wanita
JULIA WONG (MAS) mn Zhang Beiwen (Chn) 19-21, 21-13, 21-15. Pi Hongyan (Fra) mn Yu Hirayama (Jpn) 21-7, 21-14.

Beregu Lelaki:
Hendri Kurniawan Saputra-Hendra Wijaya (Sin) mn Alvent Yulianto-Hendra Gunawan (Ina) 21-13, 21-15. CHOONG TAN FOOK-LEE WAN WAH (MAS) mn Joko Riyadi-Candra Wijaya (Ina) 21-6, 22-20.

0 Komen Anda: