CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Isnin, 16 Mac 2009

Akhirnya Chong Wei Sekat Lin Dan

Kien Keat-Boon Heong raih gelaran beregu Siri Super Terbuka Switzerland

BELENGGU kecewa memerangkapnya sejak Sukan Olimpik lalu berjaya dihapuskan Lee Chong Wei yang muncul juara badminton Terbuka Switzerland selepas menundukkan musuh ketatnya, Lin Dan di St Jakobshalle, Basel, malam tadi. 

Kombinasi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong melengkapkan malam gemilang negara apabila mengungguli final beregu lelaki hasil kemenangan 21-14, 21-18 mengatasi lawan dari Denmark, Mathias Boe-Carsten Mogensen.

Buat Chong Wei, kemenangan itu hadir genap seminggu selepas kekecewaan final Seluruh England – sekali gus membolehkannya melakar kemenangan pertama selepas tumbang kepada pemain China itu pada tiga pertemuan terakhir sebelumnya. 

Kunci kejayaan 21-16, 21-16 Chong Wei dalam tempoh 52 minit itu ialah corak persembahan penuh sabar – menyerang ketika hanya perlu dan lebih memfokuskan usaha kepada mengembalikan segala bentuk pukulan Lin Dan. 

"Memang kemenangan ini menjelmakan kepuasan terbaik untuknya. Dendam kekalahan di Seluruh England minggu lalu sekurang-kurangnya kini sudah terbalas.

"Chong Wei lebih bersedia dan sudah belajar daripada kesilapan sebelumnya. Kawalan gelanggangnya juga lebih kemas dan ini menyukarkan rentak Lin Dan," kata ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek, yang dihubungi sejurus tamat perlawanan itu. 

Kien Keat-Boon Heong pula mengatasi permulaan goyah pada awal set pertama untuk menang 21-14. 

Situasi gementar juga kelihatan pada penghujung set kedua apabila, selepas mendahului 20-15, membenarkan lawan memungut tiga mata untuk sehampir 20-18 sebelum melengkapkan kemenangan hasil pukulan smash kencang Kien Keat yang tepat menjunam ke tengah gelanggang. 

Ia adalah kemenangan pertama mereka dalam Siri Super tahun ini.

0 Komen Anda: