CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Isnin, 12 Januari 2009

Chong Wei Juara Lagi

Reaksi Chong Wei selepas menewaskan Sung-Hwan di Stadium Putra, Bukit Jalil, petang semalam.

Atasi Sung-hwan di final; juara kali kelima

SEBINGIT lagu 'Eyes of the tiger' mengiringi langkah awalnya, Lee Chong Wei persis harimau mengganas di tengah gelanggang buat Park Sung-hwan terkulai jadi mangsa dalam laluannya mengungguli Siri Super Terbuka Malaysia buat kali kelima di Stadium Putra, semalam. 

Cuba sekuat mana sekalipun, pemain Korea Selatan itu jelas tidak punya jawapan kepada persembahan hampir sempurna Chong Wei yang sempat mencium gelanggang meraikan kejayaan 21-14, 21-13 sambil disulami gempita sorakan lebih 7,000 penyokong selepas 39 minit pertentangan. 

"Saya tidak sangka mampu menang semudah ini. Saya berjaya mengawal permainan dan tidak banyak melakukan kesilapan. Ini memang kemenangan istimewa. Terima kasih kepada semua. Ini juga kemenangan saya tujukan khas buat jurulatih saya, Misbun Sidek," katanya sejurus kemenangan itu.

Memang ketara, Chong Wei mencecah tahap terbaik kena pada masanya. Selepas dipaksa mengharungi kepayahan beraksi tiga set berturut-turut pada tiga pusingan sebelumnya, dia jelas enggan menangguhkan kejayaan itu. 

Set pertama menyaksikan Sung-hwan seketika melawan, untuk kedudukan paling hampir 15-12. Selepas itu, Chong Wei kemas menguasai gelanggang untuk menang 21-14 dalam hanya 18 minit. 

Awal set kedua, Sung-hwan mempamer kegigihan untuk bersaing, tetapi hanya sampai 11-13 sebelum segala pukulannya dikembalikan Chong Wei yang sabar menanti peluang untuk mengutip mata dan akhirnya menang 21-13.

Chong Wei memulakan rentetan gelaran apabila memenangi Terbuka Malaysia daripada 2004 hingga 2006 sebelum mengulangi sentuhan dengan kejayaan tahun lalu dan semalam. Ia meletakkannya hanya di belakang Wong Peng Soon - menang lapan gelaran daripada 1940 hingga 1953 - dalam sejarah kejohanan itu. 

Tine Rasmussen pula meneruskan 'cerita cintanya' dengan Stadium Putra apabila mengungguli perseorangan wanita buat tahun kedua berturut-turut selepas menundukkan pilihan utama dari Hong Kong, Zhou Mi dalam saingan sengit tiga set, 21-17, 15-21, 21-16. 

"Saya suka bermain di sini kerana saya dapat rasakan semua menyukai saya. Tahun lalu adalah pengalaman hebat dan saya tidak sangka dapat mengulanginya tahun ini. Saya langsung tidak gemuruh dan jelas turun ke gelanggang untuk menikmatinya," akui Tine. 

Kombinasi Lee Hyo-jung-Lee Kyung-won pula menamatkan impian beregu veteran China, Yang Wei-Zhang Jiewen untuk meraih gelaran hasil kemenangan 21-15, 21-12 ketika Jung Jae-sung-Lee Young-dae menang beregu lelaki selepas menewaskan pasangan Indonesia, Alvent Yulianto-Hendra Gunawan 18-21, 21-14, 21-14.

0 Komen Anda: