CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Khamis, 15 Januari 2009

Chong Wei dikerah Ji-Hoon

Lee Chong Wei

Juara Terbuka Malaysia mara pusingan kedua selepas mandi peluh

HALANGAN awal penuh keperitan terpaksa diharungi pemain utama negara, Lee Chong Wei sebelum berjaya menempah kemaraan ke pusingan kedua, badminton Siri Super Terbuka Korea Selatan, semalam. 

Turut sama mengatur langkah ialah dua pemain muda negara, Mohd Arif Latif dan Chong Wei Feng ketika Hafiz Hashim terus mendapati hasrat melangkah jauh terkubur pada pusingan pertama.

Namun, kebimbangan jelas membelenggu Chong Wei – juara Terbuka Malaysia minggu lalu – apabila selepas menang mudah set pertama 21-11, dia diberikan tentangan sengit dalam baki dua set oleh pemain muda tuan rumah, Hong Ji-hoon. 

Ji-hoon, dibantu sokongan padu penonton, berjaya menyaingi untuk menang set kedua 21-17 sebelum Chong Wei mempamer aksi lebih tenang dan tersusun untuk melengkapkan kemenangan set ketiga 21-15 buat menamatkan pertentangan selama 56 minit itu. 

Lawan Chong Wei pada pusingan kedua, hari ini ialah pemain Thailand, Tanongsal Saensomboonsuk yang menamatkan cabaran pemain muda negara, Pei Wee Chung 21-14, 21-11.

Arif melepasi halangan awal selepas menundukkan pemain India, Anand Pawar 21-14, 21-15 ketika Chong Wei Feng pula mengatasi pemain tuan rumah, Kim Sa Rang 21-15, 21-12 dalam tempoh 31 minit. 

Hafiz kalah kepada pilihan kelima dari Denmark, Joachim Persson 21-13, 21-12. Turut sama hampa pada halangan awal ialah Kuan Beng Hong yang ditumpaskan pemain Indonesia, Simon Santoso 21-12, 21-16. 

Dua beregu, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah dan Chan Chong Ming-Chew Choon Eng turut sama ke pusingan kedua, bersama-sama pemain wanita nombor dua negara, Julia Wong Pei Xian yang menang 21-9, 21-15 ke atas pemain India, Aditi Mutatkar.

0 Komen Anda: