CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Jumaat, 5 Jun 2009

Teliti Punca Kekalahan Sepak Takraw Negara


PEMINAT sepak takraw negara ini hampa dengan prestasi ditunjukkan pemain muda Malaysia ketika Kejohanan Sepak takraw Dunia yang berlangsung di Kuala Terengganu, baru-baru ini. 

Apabila regu terbaik negara kecundang di tangan pemain pelapis Thailand rasanya peminat masih boleh menerimanya kerana Thailand memang hebat. Bagi saya, punca utama kekalahan ialah pemain Malaysia tidak dapat mengangkat servis kuda daripada pemain Thailand. Dari segi lain boleh dikatakan sama cuma pemain Malaysia kerap membuat silap yang memberi mata kepada lawan. 

Apa yang paling mengecewakan saya serta peminat lain ialah apabila kedua-dua pasukan A dan B Malaysia tewas di tangan Indonesia. Cukup memalukan! Kalau saya menjadi pengurus Indonesia, saya akan membuat kenduri besar. Malaysia adalah negara pelopor permainan ini tewas kepada negara yang sukan berkenaan tidak begitu popular.

Mengapa Thailand, Indonesia, Myanmar begitu hebat? Tak lain tak bukan kerana mereka berjaya melahirkan pemain berkaliber hasil program pembangunan sukan mereka. Selain itu, Thailand khasnya mempunyai pemain berdisiplin tinggi. Mereka begitu taat kepada jurulatih. 

Cukup menyedihkan melihat ada antara pemain Malaysia terus menghisap rokok selepas bermain. Ada juga sebelum bermain masih makan. Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku kepada pemain kita. Kalau pemain kampung, perkara itu memang biasa tetapi ini mereka mewakili negara dalam kejohanan dunia. 

Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) perlu melakukan sesuatu supaya keadaan seperti ini tidak berulang dan dapat mengembalikan maruah Malaysia di persada antarabangsa. Jurulatih yang ada memang baik tetapi mereka perlu bekerja lebih keras untuk menghasilkan pemain berkualiti.

Sebenarnya di negara kita masih ada pemain yang baik tetapi disebabkan kekangan tertentu dan kerenah birokrasi majikan menyebabkan mereka tidak dapat mewakili negara. Ada juga pemain yang hebat tetapi sengaja tidak mahu mewakili negara kerana takut mendapat gelaran ‘state player’, yang mana gelaran ini menghalang mereka menyertai kejohanan yang dianjurkan badan tertentu. Kejohanan seperti ini biasanya menyediakan hadiah wang ringgit. Di sinilah pemain hebat ini mengutip wang hadiah kejohanan. 

Hari ini, PSM gagal melahirkan pemain yang boleh menjadi idola. Kalau dulu sebut saja Adnan Saidin, Azman Ismail, Ismail Atan, Sahar Omar dan banyak lagi, ramai orang tahu siapa mereka. Seingat saya paling akhir ialah Rehan Md Din dan Zabidi Sharif lepas itu sudah tidak ada pemain sehebat mereka. 

Berita mengenai sepak takraw di akhbar juga memainkan peranan untuk mempromosi sukan ini, tetapi hari ini berita sukan ini terlalu sedikit diberi liputan. Semoga apa yang saya luahkan ini memberi perangsang persatuan dan pemain untuk bangkit semula bagi mengembalikan zaman kegemilangan sepak takraw negara. 

PEMINAT MALAYSIA

0 Komen Anda: