CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Isnin, 8 Jun 2009

Skuad Hoki Remaja Negara Mulakan Langkah Kanan


FAIZAL Saari muncul wira skuad negara selepas jaringannya membolehkan Malaysia menewaskan England 1-0 ketika kekebalan benteng pertahanan menjadi kelebihan buat tuan rumah dalam aksi sulung Kumpulan C hoki Piala Dunia Remaja, semalam. 

Malah, jurulatih, K Rajan mengakui disiplin benteng akhir negara sepanjang 70 minit membolehkan skuad negara selesa dengan jaringan Faizal yang dihasilkan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-30. 

Baginya, persembahan itu menyuntik keyakinan menjelang pertemuan dengan Korea Selatan hari ini selepas lawan itu membelasah Amerika Syarikat 7-0 pada aksi terdahulu Kumpulan C semalam.

"Untuk pertama kali dalam 30 perlawanan, pemain pertahanan berjaya melakukan tugas dengan berkesan untuk memastikan gawang tidak ditembusi dan ia membolehkan kami mendapat kemenangan. 

"Secara keseluruhan saya berasa kami mampu beraksi lebih baik dan pemain perlu mempraktikkan kerjasama sepasukan yang lebih baik apabila berdepan Korea esok (hari ini), kerana mereka membuktikan hari ini bahawa mereka adalah barisan yang mantap. 

"Apa pun, perlawanan pertama memang sukar dan saya percaya keputusan yang kami capai pada malam ini akan memberi keyakinan yang lebih kepada pemain-pemain untuk pertemuan dengan Korea,” kata Rajan.

Lakaran kemenangan dipamerkan skuad negara pada babak pertama, apabila benteng pertahanan yang dikemudi kapten pasukan, Khairil Anuar Md Isa serta Mohd Nor Hafiq Abdul Gaffar beraksi cemerlang. 

England cuba bangkit pada babak kedua dan turut berjaya mendapatkan tiga pukulan sudut penalti, namun penjaga gol negara, Abdul Hakim Adnan turut beraksi cemerlang untuk menafikan England sebarang gol untuk memastikan kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat permainan. 

Sementara itu, jurulatih Korea Selatan, Kim Jong-yi seakan memberikan amaran kepada skuad negara apabila menyuarakan keyakinan untuk mengecewakan Malaysia di hadapan penyokong sendiri walaupun menghormati skuad kendalian Rajan itu.

0 Komen Anda: