CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Isnin, 9 November 2009

Penyokong fanatik tak peduli nasihat

KEJAYAAN Kelantan mara ke peringkat akhir Piala Malaysia sangat membanggakan terutama dalam kancah bola sepak negara yang semakin hilang serinya. Kecemerlangan ini dirasai semua rakyat Kelantan tanpa mengira di mana mereka berada.

Jolokan 'Red Warrior' begitu sinonim dengan keupayaan Kelantan selama ini, ia dibarisi pemain serta jurulatih berwibawa. Kesungguhan meletakkan Kelantan sebagai negeri tersohor juga berikutan keupayaan dan sumbangan Tan Sri Annuar Musa selaku pengurus pasukan.

Pada perlawanan akhir, Stadium Bukit Jalil dipenuhi puluhan ribu penyokong Red Warrior, sehingga dikatakan bandar Kota Bahru lengang kerana sebahagian besar rakyat Kelantan menuju ke ibu kota dengan harapan meraikan kejayaan pasukan mereka menjulang Piala Malaysia. Namun, keputusan perlawanan akhir memihak kepada pasukan Negeri Sembilan dengan kelebihan jaringan 3-1.


Ia adalah detik yang sangat sukar diterima penyokong fanatik Kelantan, tetapi itulah hakikat dalam permainan bola sepak.

Kepada semua pemain, jurulatih serta pengurus pasukan, tahniah dan syabas diucapkan kerana komitmen juga kesungguhan anda menghidupkan semula sinar bola sepak di negeri Cik Siti Wan Kembang yang sememangnya terkenal dengan pemain berkebolehan dan berbakat seperti Dali Hussin, Kamaruddin Md Nor, Hashim Mustafa dan lain-lain lagi.

Kekalahan perlawanan akhir itu bukan bermakna pasukan bimbingan Satianathan ini lemah, tetapi kekuatan serta taktikal yang dipercaturkan oleh Wan Jamak berjaya memerangkap serta mengikat pemain Kelantan khususnya Indra Putra dan Mohd Farhan.

Jelas sepanjang 90 minit hampir 60 peratus 'ball possesion' menjadi milik Negeri Sembilan.

Bagaimanapun dalam kemeriahan semua menyaksikan pertembungan dua gergasi bola sepak tanah air itu, beberapa kejadian tidak di ingini berlaku apabila ada sebahagian penyokong fanatik pasukan 'Red Warrior' menimbulkan kekecohan dengan membakar tempat duduk stadium sebagai tanda protes kerana kekalahan itu.

Apakah budaya ganas dan samseng penyokong England harus menjadi ikutan penyokong fanatik Kelantan? Biarlah kita bersikap profesional dan berhemah bersesuaian dengan kesantunan budi pekerti orang Kelantan. Sikap begini tidak mampu menjulang maruah bola sepak Kelantan, malah akan memberi impak sangat negatif terhadap perkembangan bola sepak negeri dan negara.

Saranan Menteri Besar serta pengurus pasukan supaya penyokong Kelantan menjaga tatasusila ketika di Bukit Jalil jelas tidak diambil peduli oleh mereka ini.

Sepatutnya kita semua menjunjung kasih kepada Tengku Mahkota Kelantan dan beberapa tokoh pemimpin lain yang mencemar duli untuk hadir menonton perlawanan akhir itu sebagai tanda sokongan dan komitmen baginda terhadap bola sepak negeri.

Pada hemat saya baginda sudah pasti berbangga dengan kesungguhan pemain Kelantan mengharungi cabaran perlawanan akhir itu meskipun akhirnya terpaksa akur dengan kekuatan Negeri Sembilan, namun pada masa sama tentu Baginda kecewa apabila melihat gelagat serta tindakan tidak bertanggungjawab sesetengah daripada kita ketika berada di Bukit Jalil.

Rakyat Kelantan mesti menerima hakikat ini dan bersama memberi sokongan, kerjasama dan komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada pasukan Kelantan. Pasukan yang disegani bukan saja terletak kepada kehebatan pemainnya tetapi juga dipengaruhi sikap dan wibawa penyokong setia untuk terus bersama dengan pasukan walau dalam apa juga keadaannya.

Sekali lagi syabas serta tahniah kepada pasukan Kelantan kerana berjaya beraksi di pentas tertinggi dan sekalung penghargaan kepada pasukan Negeri Sembilan kerana berjaya menjulang Piala Malaysia melalui mutu permainan yang sangat berkualiti.

RAZALI SETAPA,
Penyokong Kelantan.

0 Komen Anda: