CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Ahad, 27 Mei 2012

Beri Chong Wei bangkit di Olimpik

Tatkala negara sedang merasai kegembiraan wakil kita menumpaskan Afrika selatan dalam aksi pertama peringkat kumpulan Piala Thomas di Wuhan, China, semua terkejut dengan berita kecederaan yang menimpa Datuk Lee Chong Wei, wira negara serta pemain rangking pertama dunia ketika aksi menentang Peter Gade.

Berita malang itu tersebar cepat dan semua penyokong badminton tanah air berasa sedih serta terkilan dengannya, lebih-lebih lagi apabila Chong Wei disahkan tidak dapat beraksi untuk perlawanan sepanjang kejohanan berprestij itu.

Namun, kita perlu bersyukur kerana peluang untuk beliau bermain pada Sukan Olimpik masih terbuka luas dan dijangka sembuh sebelum Julai. Beliau dikejarkan ke hospital dan tiba di Malaysia untuk rawatan lanjut.

Disebabkan ketiadaan tonggak utama negara untuk meraih mata pertama dan sekali gus menaikkan semangat negara, Malaysia akhirnya tewas di tangan Denmark Dengan Darren Liew dan Hafiz Hashim menjadi penyalamat negara.

Pada masa sama, laman web turut hangat dengan berita mengenai kecederaan itu. Ada pihak menyifatkan sebagai satu tektik Chong Wei kerana khuatir akan tewas di tangan Peter Gade.

Ada pula pihak menyalahkan penganjur kerana lokasi pemain memanaskan badan dibuka lewat menyebabkan mereka tiada masa untuk memanaskan badan.

Ada pihak mengambarkannya sebagai kesilapan akibat kasut sukan yang kurang sesuai. Ada pihak memberi komen semua ini dugaan Tuhan kepada beliau, keluarga dan rakyat Malaysia.

Walau apapun kecederaan ini, saya berharap semua rakyat dapat memberi sokongan padu kepada Chong Wei supaya beliau lebih bersemangat menghadapi kehidupan pada masa akan datang.

Janganlah kita cuba menghina atau memburukkan nama baik Chong Wei kerana sumbangan beliau kepada perkembangan badminton negara memang tidak dapat disangkal lagi.

Janganlah kita memberi komen negatif mengenai insiden ini kerana hati mana yang tidak terluka apabila kecederaan menimpa seorang pemain tersohor.

Janganlah kita cuba memandang rendah terhadap wakil Malaysia yang lain kerana apa yang akan berlaku semuanya suratan takdir dan bukan di bawah kawalan manusia.

Walaupun negara masih banyak bergantung kepada Chong Wei, semangat yang kental dan kecekalan yang ditunjukkan pemain pelapis adalah sesuatu yang boleh kita ambil secara positif kerana kedua-dua elemen itulah syarat kepada segala kejayaan yang bakal dicapai.

Ada pemain yang kurang ternama di persada antarabangsa sudah mula menunjukkan kebolehan namun, prestasi mereka agak kurang stabil masih lagi menjadi satu masalah.

Akhir sekali, diharapkan semua rakyat Malaysia dapat berdoa agar Chong Wei segera sembuh tanpa mengira agama dan bangsa. Doakan juga kejayaan skuad badminton Malaysia. Majulah sukan untuk negara.


Anak Malaysia 1993
Pulau Pinang.

0 Komen Anda: