CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Rabu, 27 Januari 2010

Kita Masih Perlukan Pemain Import

FAM serta Kementerian Belia dan Sukan harus mengkaji semula penghantaran skuad bawah 23 tahun negara ke England. Ia membabitkan kos tinggi di samping kemeriahan liga tempatan bakal suram kerana hilang bintang muda dalam kerancakan liga yang baru bermula. 

Cukuplah kemeriahan liga kita diragut FAM dengan menidakkan hak pasukan harimau muda beraksi di liga super dan pemain import dihalang bermain liga Malaysia. Apakah logiknya menghantar skuad bawah 23 ke luar negara? Logiknya kerana pemain kita didedahkan dengan pemain luar seperti di negara kita yang digelar pemain import. 

Saya mencadangkan FAM kembalikan kemeriahan liga tempatan dengan kehadiran pemain import tapi dengan syarat hanya pemain yang berkualiti untuk posisi pertahanan dan bagi saingan liga super saja.

Alasan FAM tidak menggunakan pemain import kerana penyerang tempatan sukar menunjukkan bakat akibat jurulatih mengutamakan pemain import beraksi pada setiap perlawanan. 

Kita akui keadaan ini kerana saban tahun penjaring terbanyak bersilih ganti ialah pemain import. Sebagai contoh Marlon Alex James (Kedah), Philemon Chipeta (Perlis) dan Mohamadou Mustapha (Kelantan). Jarang pemain kita dapat mengatasi mereka. Namun, cara penyelesaiannya bukan dengan melarang pemain import yang ibarat marahkan nyamuk kelambu dibakar. 

Berbalik pada pemain import pertahanan yang berkualiti, ia amat baik kerana kehebatan penyerang tempatan benar-benar teruji apabila berdepan pertahanan lawan yang kental terutama dari segi fizikal selain dapat belajar daripada pemain pertahanan import.

Tidak guna berbangga dengan penjaring terbanyak pemain tempatan kerana taraf pertahanan tempatan tidak setanding keupayaan pemain import. Bukan ingin menafikan bakat pemain pertahanan kita, namun itulah realiti yang harus diterima. 

Siapakah dan berapa ramai pemain pertahanan kita setanding pemain import seperti Jan Necas, Haruna Al-Hasan (Kelantan) dan Ulubunmi Adigun (Kedah). Sekarang kita memiliki penyerang berbakat seperti Zaquan Adha, Norshahrul Idlan Talaha, Safiq Rahim dan Fakri Saarani. 

FAM patut dedahkan mereka dengan pemain pertahanan kental import yang bergandingan dengan pemain pertahanan tempatan. Apabila beraksi peringkat antarabangsa, mereka lebih sedia berdepan pertahanan pasukan lawan yang kental terutama dari segi fizikal. 

Cadangan FAM mungkin kerana kita membawa pulang pingat emas di Laos dalam fasa permulaan saingan liga tanpa pemain import. Namun, harus diingat matlamat kita sebenar ialah layak ke Piala Dunia tidak kira berapa tahun lagi.

Sukan Sea tidak boleh dibuat penilaian kerana pasukan bertanding tarafnya lebih kurang sama dengan pasukan kita malah pasukan lawan seperti Vietnam dan Thailand lebih agresif di bahagian serangan kerana penyerangnya didedahkan dengan pemain import. 

FAM sepatutnya membandingkan kita dengan gergasi Asia seperti Jepun dan Korea Selatan yang layak ke Piala Dunia bukan kerana tidak menggunakan pemain import malah lebih ramai pemain import beraksi dalam pasukan liga mereka. 

PAHLAWAN MERAH
Kota Bharu, Kelantan.

0 Komen Anda: