CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Ahad, 15 Mac 2009

Peluang Chong Wei Tebus Kekalahan Ke Atas Lin Dan Esok

KUALA LUMPUR, Jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei dan bintang China Lin Dan mengulangi pertemuan kedua dalam tempoh seminggu pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Switzerland esok.

Chong Wei, pemain nombor satu dunia dan Lin Dan berjaya mara ke perlawanan akhir selepas mengatasi lawan masing-masing pada saingan separuh akhir di Arena Tertutup St.Jakobshalle di Basel.

Chong Wei, yang tewas kepada Lin Dan pada perlawanan akhir All England minggu lepas, memerlukan masa 51 minit untuk menundukkan pemain bukan pilihan dari Denmark, Jan O.Jorgensen 21-12, 20-22, 21-9.

Chong Wei, 26, kini mempunyai peluang untuk menebus kekalahan ke atas juara Olimpik Beijing 2008 itu apabila Lin Dan menjinakkan pemain pilihan ketiga dan rakan senegara Chen Jin 21-13, 21-14 dalam masa 44 minit.

Pada Ahad lepas, Lin Dan merangkul gelaran All England buat kali keempat selepas dengan mudah mengenepikan saingan Chong Wei 21-19, 21-12.

Perlawanan akhir akan bermula pukul 7 malam waktu Switzerland hari ini atau 2 pagi esok waktu Malaysia.

Sementara itu, beregu lelaki negara Koo Kien Keat-Tan Boon Heong mempunyai peluang untuk mengakhiri kemarau gelaran selama dua tahun apabila mara ke perlawanan akhir.

Beregu pilihan kedua dan nombor enam dunia itu menempah tiket ke final dengan menumpaskan pasangan pilihan keenam Cai Yun-Fu Haifeng dari China 23-12, 18-21, 21-14 dalam masa 56 minit.

Kien Keat-Boon Heong, bekas juara All England dan Terbuka Switzerland itu, akan menentang beregu pilihan ketiga dan nombor empat dunia Mathias Boe-Carsten Mogensen dari Denmark.

Dalam pada itu, perlawanan akhir peseorangan wanita adalah antara pemain China, Wang Yihan dan Jiang Yanjiao manakala acara beregu wanita akhir adalah antara gandingan pilihan ketiga dari Korea Selatan Lee Hyo Jung-Lee Kyung Wong dengan beregu dari China, Du Jing-Yu Yang.

Perlawanan akhir acara beregu campuran membabitkan pasangan China, Lee Yong Dae-Lee Hyo Jung menentang Zheng Bo-Ma Jin.

-- BERNAMA

0 Komen Anda: