CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Jumaat, 6 Mac 2009

Nicol ke Separuh Akhir

Beng Hee (kiri) tewaskan Aamir Atlas 11-5, 8-11, 11-9, 8-11, 11-1 dalam saingan suku akhir, semalam.

Beng Hee bergelut sebelum turut layak peringkat sama

DETIK cemas terjelma buat seketika, namun ia hanya bersifat sementara dengan juara bertahan, Nicol David memastikan kemaraan ke separuh akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Kuala Lumpur apabila menewaskan Jenny Duncalf 11-1, 10-12, 11-7, 11-9 dalam pertemuan sengit di Berjaya Times Square, malam tadi. 

Nicol yang memburu gelaran ketiga berturut-turut membuat penonton cemas seketika apabila tewas set kedua 10-12 dengan membiarkan pemain pilihan kelima dari England itu meraih tujuh mata berturut-turut daripada ketinggalan mata akhir, 5-10.


"Saya sudah menjangkakan ia adalah pertemuan sengit. Saya gembira untuk bangkit pada set ketiga untuk memenangi perlawanan ini," katanya yang memenangi pertarungan dalam tempoh 46 minit. 

Separuh akhir nanti akan menemukan Nicol dengan pilihan ketiga, Rachael Grinham dari Australia manakala satu lagi pertembungan empat terakhir menyaksikan pilihan keempat, Natalie Grainger dari Amerika Syarikat dan pemain England, Laura Lengthorn-Massaro. 

Dalam pada itu, juara bertahan lelaki, Ong Beng Hee sekali lagi terpaksa menunggu sehingga detik terakhir untuk memastikan tempat dalam pusingan empat terakhir apabila diheret beraksi sehingga lima set menentang bukan pilihan, Aamir Atlas Khan pada suku akhir, semalam.


Beng Hee yang dibawa ke set penentuan pada pertemuannya menentang juara remaja dunia, Mohamed El Shorbagy dari Mesir pada pusingan pertama kelmarin, sekali lagi menyaksikan nasibnya ditentukan pada set kelima dengan kemenangan 11-5, 8-11, 11-9, 8-11, 11-1 dalam tempoh satu jam. 

"Badan saya begitu letih selepas bermain sepenuh tenaga semalam (kelmarin). Empat permainan pertama terumbang ambing. Tetapi dalam set kelima, saya memiliki kelebihan mental ke atasnya," kata Beng Hee sejurus perlawanan berakhir. 

Lawan Beng Hee dalam saingan kelompok empat terakhir nanti adalah rakan sepelatih di England, Adrian Grant yang menang dalam perlawanan suku akhir menentang rakan senegaranya dari England, Chris Simpson, 11-6, 13-11, 11-9. Beng Hee memiliki rekod 1-2 ke atas Grant dengan kemenangan tunggalnya itu hadir pada Antarabangsa CNS pada 2004

Berita Harian

0 Komen Anda: