Raih gangsa 1km Ujian Masa
TERSENTAK dengan prospek bakal pulang tangan kosong selepas dua acara gagal membutirkan kilauan pingat, kayuhan gemilang pantas dicipta Mohd Rizal Tisin - lakaran sejarah buat negara memenangi pingat pertama di Kejohanan Trek Dunia di Pruszkow, Poland, awal pagi semalam.
Tanpa diberi harapan tinggi, Rizal yang sedikit masa lalu pernah menyuarakan hasrat untuk bersara demi mencari pekerjaan tetap, kini mampu tersenyum apabila bergelar pelumba ketiga terbaik dunia dalam acara 1 kilometer ujian masa.
Lebih menarik, dia yang juga juara dan pemegang rekod Asia, turut mencipta rekod baru benua dengan catatan 1 minit 01.658 saat, hampir sesaat mengatasi rekod lama 1:02.157s diciptanya di Australia, tahun lalu.
Rizal, 24, tampak terlalu kerdil dibandingkan dengan jaguh dunia ketika turun ke gelanggang di Velodrom Kebangsaan Poland selaku pelumba ke-25 daripada jumlah 28 pelumba lain, namun lonjakan di permulaan sambil menunduk ternyata memukau.
Apapun, ketika namanya sudah terpahat selaku pelumba ketiga yang menjamin pingat pertama buat negara, kebimbangan besar masih bermain di mindanya apatah lagi tiga pelumba handalan dunia diketuai pasangan Perancis, Francois Pervis dan Michael D’Almeida serta penyandang gelaran dari Belanda, Teun Mulder masih belum beraksi ketika itu.
Namun, tuah tetap berpihak kepadanya untuk dihadiahkan gangsa ketika emas dimenangi bekas juara dunia 2003 dari Jerman, Stefan Nimke dengan sensasi baru dari Amerika Syarikat, Taylor Phinney muncul pemenang perak kali ini.
“Ketika melihat Nimke memecut, saya sangat cemas kerana dia sangat laju, selepas itu Phinney pula melakukan 1.01 minit, saya sudah tidak boleh berfikir lagi, saya perlu berkayuh bermati-matian kali ini,” katanya yang berkedudukan kelima tahun lalu.
“Saya memang mensasarkan untuk melakukan bawah 1.02 minit kerana masa itu saja membolehkan saya menang pingat.”
KEPUTUSAN
1 Stefan Nimke (GER) 1 minit 00.666 saat; 2 Taylor Phinney (AS) 1:01.611; 3 Mohd Rizal Tisin (MAS) 1:01.658; 4 Michael D’Almeida (FRA) 1:02.034; 5 Scott Sunderland (AUS) 1:02.144; 6 Teun Mulder (NED) 1:02.209; 7 David Daniell (GBR) 1:02.316; 8 Kamil Kuczynski (POL) 1:02.356; 9 Quentin Lafargue (FRA) 1:02.669; 10 Edward Dawkins (NZL) 1:02.685.
0 Komen Anda:
Catat Ulasan