CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Isnin, 30 Mac 2009

Azizulhasni Awang Raih Perak.

Azizulhasni Awang


Tewas aksi final pecut

HANYA setengah tayar menjadi pemisah gelaran juara dunia buat Azizulhasni Awang yang akhirnya terpaksa berpuas hati dengan pingat perak di Kejohanan Basikal Trek Dunia di Pruskow, Poland, malam tadi.

Ia adalah pingat kedua negara selepas Mohd Rizal Tisin mencipta sejarah menyumbang gangsa dalam acara 1km ujian masa kelmarin - pingat pertama negara dalam kejohanan elit itu.

Azizulhasni tewas kepada pelumba Perancis, Gregory Bauge di final dengan kiraan 2-1 walaupun begitu hampir mencipta sejarah selaku juara dunia apabila menang perlumbaan kedua final itu.

Pada perlumbaan pertama, dia hanya tewas tipis menerusi 'photo finish' tetapi perlumbaan penentuan jelas tidak berpihak kepadanya apabila gagal meneruskan kayuhan bertenaga pada perlumbaan tiga pusingan itu.

Di separuh akhir, dia menewaskan juara sirkit Piala Dunia, Shane Perkins dari Australia ketika Bauge mara selepas mengetepikan rakan senegara, Kevin Sireau dalam satu lagi pertembungan separuh akhir.

Sebelum itu, Azizulhasni yang turun ke gelanggang bersama dua lagi pelumba negara, Rizal dan Josiah Ng mudah melepasi pusingan awal.

Malangnya dia terpaksa mengetepikan Rizal pada pusingan kedua apabila ke dua-duanya diundi dalam saingan yang sama.

Selepas itu, pelumba bertubuh kecil itu berjaya mengatasi cabaran utama pada peringkat suku akhir awal pagi semalam apabila dipaksa ke pusingan penentuan bertemu Ross Edgar dari Britain yang berjaya mencuri satu kemenangan pada perlumbaan kedua.

Pelumba berusia 21 tahun itu bagaimanapun bangkit pada saingan ketiga dengan mendahului sejak loceng dibunyikan sebelum melaku kan aksi biasanya 'willie' di garisan penamat diikuti sorakan peminat untuk kemenangan 2-1 mengatasi Edgar yang menyingkirkannya dari tempat ke final acara keirin.

Pada saingan separuh ak hir, pelumba dengan panggilan 'pocket rocket' dalam dunia berbasikal antarabangsa itu mudah mengatasi Perkins menerusi kemenangan 2-0 apabila memecut awal ke garisan penamat.

Kejayaan anak muda berasal dari Dungun, Terengganu itu sedikit sebanyak mengubati kekecewaannya yang hanya berkedudukan ke-11 acara keirin yang juga acara kegemarannya.

0 Komen Anda: