CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Rabu, 22 Julai 2009

Sorakkan Harimau


JIKA penyokong Manchester United mampu bersatu dengan warna merah memonopoli dua perlawanan bola sepak persahabatan dengan pasukan negara yang berakhir kelmarin, tidak mustahil jersi jalur kuning hitam ‘Harimau’ akan mengambil alih selepas ini.

Begitupun semuanya bergantung kepada sejauh mana kesediaan rakyat menyarung jersi kuning hitam setiap kali menyaksikan perlawanan atau kejohanan membabitkan atlit Malaysia, selepas ia bakal dikomersilkan sebagai pakaian penyokong pula.

Secara tidak langsung, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek yakin inisiatif itu dapat menyumbang lima hingga 10 peratus dorongan semangat terhadap atlit terutama menjelang Road To London 2012.

Dengan tiga sukan iaitu badminton, memanah dan menembak menjadi teras utama program terbabit, diharapkan penjenamaan semula jersi berkenaan untuk menjadi pakaian rasmi penyokong akan memberi impak terhadap misi ke London.

Menurutnya, apatah lagi kehadiran jaguh sukan seperti Datuk Lee Chong Wei, Azizulhasni Awang dan Cheng Chu Sian ketika ini sudah berjaya meletakkan negara sebagai antara yang disegani dalam sukan terbabit.

“Kita begitu dahagakan dan laparkan pingat emas Olimpik dan selain memberi harapan terhadap atlit, penyokong juga perlu melakukan sesuatu dan penggunaan baju ‘Harimau’ akan meningkatkan moral atlit terbabit,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelaras Program Pembangunan Belia dan Sukan di Putrajaya, semalam.

Jelasnya, secara tidak langsung ia sejajar dengan misi menjadikan sukan sebagai satu industri dengan meletakkan kejayaan beberapa kelab dan negara sebagai model.

Beliau meletakkan tempoh dua tahun untuk menjayakan kempen berkenaan seiring persiapan atlit negara ke London, dengan pelancaran besar-besaran diadakan hujung tahun ini untuk menyemai semangat cintakan negara di kalangan rakyat Malaysia.

“Kita menggalakkan orang ramai memberi sumbangan seperti ini, tanda sokongan terhadap atlit dan negara, biarpun mereka tidak perlu berlari atau menyertai acara sukan, ia (pemakaian baju ‘Harimau’) sudah cukup baik,” katanya.

Malah kempen berkenaan, katanya akan diperluaskan ketika kontinjen negara menyertai kejohanan sukan antarabangsa seperti Sukan Sea, Sukan Asia dan Sukan Komanwel.

Pada masa sama beliau berhasrat mengekalkan 17 atlit dalam program Road To London buat masa ini meskipun jumlah atlit mungkin berubah sebelum bermulanya temasya sukan terbesar dunia itu.

“Biarpun ia masih terbuka tetapi kita tidak mahu yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Adalah lebih baik kita memberi tumpuan terhadap 17 atlit terbabit dengan pingat emas sebagai sasaran,” katanya.

0 Komen Anda: