CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Rabu, 15 Julai 2009

Malaysia, China berentap di final


KUALA LUMPUR - Malaysia bakal berentap dengan China bagi penentuan juara Kejohanan Badminton Remaja Asia setelah menundukkan Jepun 3-1 pada separuh akhir di Stadium Juara, Bukit Kiara, semalam.

Mengharungi 55 minit, beregu lelaki negara, Goh Jian Hao-Pang Zheng Lin memastikan kemenangan itu dengan mengetepikan Shohei Hoshino-Akira Kobayashi 21-19, 16-21, 21-19 pada perlawanan keempat format berpasukan campuran itu.

Malaysia mengatur langkah kanan dengan mendahului Jepun 1-0 menerusi acara beregu campuran, Ow Yao Han-Lai Pei Jing yang menumpaskan Naoto Otaki-Kanako Konishi 21-17, 21-13 dalam tempoh setengah jam.

Ia disusuli satu lagi kemenangan sumbangan perseorangan lelaki, Iskandar Zulkarnain Zainuddin yang cuma memerlukan 25 minit untuk membenam Tatsuya Watanabe 21-9, 21-14.

Malangnya, Tee Jing Yi keciciran mata acara perseorangan perempuan dalam perlawanan ketiga hingga membolehkan Minatsu Mitani dan Jepun mencuri satu mata menerusi kemenangan perit selepas 43 minit, 21-17, 12-21, 21-17.

Dengan kemenangan dalam tangan, pasangan perempuan, Ng Hui Ern-Lai Pei Jing tidak perlu beraksi pada perlawanan terakhir dengan menentang Kanako Konishi-Sayaka Takahashi.

Dalam satu lagi perlawanan, juara bertahan China menewaskan Thailand juga 3-1 dengan mata daripada Lu Kai-Bao Yixin (beregu campuran); Chen Xiaojia (perseorangan perempuan) dan gandingan lelaki, Guo Junjie-Liu Peixuan manakala lawan menang menerusi perseorangan lelaki, Poodchalat Pisit.

Sementara itu, jurulatih Malaysia, Sun Chenghua berkata: "Ada beberapa kali beregu lelaki kita agak goyah dan kurang yakin malah sesekali stamina atau kawalan bola terjejas tetapi mujurlah mereka masih mampu menang tipis.

"Iskandar menunjukkan kemajuan berbanding dua hari lalu. Inilah permainan yang saya harapkan daripada perseorangan lelaki.

"Seperti menentang Jepun, kami masih mengharapkan mata apabila menghadapi China menerusi beregu campuran dan kesemua lelaki kerana pemain wanita kita masih lemah. Apa pun kita akan terus mencuba.''

0 Komen Anda: