CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Selasa, 7 Julai 2009

Petanda Keruntuhan


GILIRAN Korea Selatan, negara yang baru bertatih dalam sukan sepak takraw tampil mengaibkan Malaysia dalam acara berpasangan Kejohanan Sepak Takraw Piala Raja Thai di Bangkok, semalam.

Apa lagi yang mahu dipertahankan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) akan keruntuhan skuad negara yang tidak boleh disembunyikan lagi.

Kekalahan 0-2 kelmarin kepada Indonesia pada final antara regu adalah bukti jelas Malaysia bukan lagi kuasa sepak takraw selepas Thailand yang harus digeruni.

Kejatuhan ini sudah lama dikesan bekas pemain kebangsaan, Rosli Abdul Rahman tetapi sayang sekali, PSM, jurulatih dan pemain sendiri masih lena tidur.

“Prestasi skuad negara makin teruk. Saya lihat pemain tidak langsung mempunyai rasa bangga apabila diberi peluang untuk menyarung jersi kebangsaan. Mereka mudah berpuas hati apabila dipilih mewakili negara.

“Perasaan sebegitu yang merosakkan mereka dan membuatkan mereka leka serta tidak berusaha untuk memajukan diri sendiri. Berikutan itu, mental mereka menjadi lemah dan tidak dapat bertahan lama apabila diasak oleh lawan.

“Mereka sepatutnya mencontohi pemain lama yang menjalani latihan sendiri bagi memperbaiki kelemahan dan tidak bergantung sepenuhnya kepada jurulatih semata-mata. Kami juga tidak menerima elaun yang tinggi tetapi kami bermain untuk negara dan sedar bahawa maruah negara perlu dipertahankan,” kata Rosli.

Beliau yang beraksi di posisi apit kiri itu berkata, sepak takraw pada zamannya cukup berbeza dengan apa yang berlaku sekarang dan bukan mudah untuk mereka terpilih mewakili negara sebaliknya perlu benar-benar hebat sebelum diberikan peluang menyertai sesi pemilihan.

Perkara sebegitu, katanya, tidak lagi berlaku dan beliau turut tidak menolak kemungkinan sukan itu menjadi semakin tidak digemari menjadi faktor pendorong kepada kejatuhan kualiti skuad sepak takraw negara.

“Kita perlukan lebih banyak pertandingan pada peringkat kebangsaan. Pemain perlukan pendedahan dan mereka pastinya jemu apabila setiap hari dikerah untuk berlatih tetapi tidak ada kejohanan besar,” katanya.

Rosli menyifatkan kekalahan kepada Indonesia dan Korea Selatan bukan lagi nasib seperti kegagalan pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Malaysia, Mei lalu.

“Kalau kita kalah dua kali berturut-turut, itu bukan lagi nasib. Itu menunjukkan satu petanda buruk dan persatuan serta pemain perlu melakukan muhasabah diri dan mencari punca sebenar kekalahan itu,” katanya.

0 Komen Anda: