BANGKOK, 5 Julai Kemerosotan aksi Malaysia di peringkat antarabangsa berterusan apabila pasukan kebangsaan tewas 0-2 kepada Indonesia dalam perlawanan akhir antara regu lelaki Kejohanan Sepak Takraw Piala Raja Thai di sini Ahad.
Gandingan Ahmad Sufi Mohammed Hashim, Norshahruddin Mad Ghani dan Zulhahizazudin Rosslan tunduk 19-21 dan 16-21 dalam pertarungan selama satu jam itu kepada trio Indonesia Yudi Purnomo, Wisnu Dewi dan Suko Hartono.
Kuasa utama sepak takraw dan tuan rumah Thailand tidak menghantar penyertaan dalam acara antara regu manakala satu lagi pasukan handalan Myanmar tidak mengambil bahagian kerana menumpukan kepada Sukan SEA Laos pada Disember depan. Pada Kejohanan Dunia di Terengganu bulan lepas, Malaysia menamatkan saingan dengan tangan kosong setelah tunduk kepada Thailand, Indonesia dan Vietnam.
Kelemahan dalam melakukan servis dan bertahan menyaksikan pasukan kebangsaan kecundang dalam saingan yang berlangsung di pusat membeli-belah Fashion Island kepada lawan yang pernah ditundukkan dalam pusingan awal sebelum ini.
Perlawanan set pertama seimbang tetapi tekong Ahmad Sufi gagal memberikan mata berharga buat Malaysia, memaksa jurulatih Haris Abdul Rahman menggantikannya dengan Mohammad Syazuan Husin ketika kedudukan 12-16 tetapi ia terlalu lewat untuk menyekat Indonesia daripada menang 21-19.
Pada set kedua, trio Malaysia kembali beraksi baik untuk mendahului 6-3, 7-5 dan 10-7 sebelum Indonesia bangkit dengan memperoleh mata menerusi servis dan hadangan terhadap libasan "killer" negara Norshahruddin.
Pasukan lawan berjaya mendahului 17-13 dan menamatkan saingan dengan kemenangan 21-16.
Zulhahizazudin berkata walaupun servis Indonesia tidak begitu berbahaya tetapi kelemahan mereka ketika bertahan menjadi punca kekalahan itu.
"Memang mengecewakan kerana kami beraksi lebih baik. Servis kami hari ini baik tetapi lemah ketika bertahan," katanya.
Haris yang menyalahkan faktor kekurangan pengalaman anak-anak buahnya berkata pemain Indonesia yang lebih berpengalaman dapat menutup setiap ruang manakala servis Malaysia yang lemah juga menyumbang kepada kekalahan itu.
Malaysia masih bersaing dalam acara berpasukan lelaki dan dijangka bertemu Thailand Selasa ini pada perlawanan akhir kejohanan yang disertai oleh 20 negara.
0 Komen Anda:
Catat Ulasan