Kekecualian memang ada, tetapi lazimnya atlit negara kecundang dalam acara berpasukan seperti terbukti pada kejohanan Skuasy Berpasukan Wanita di Mesir. Kecuali pasukan badminton negara yang pernah mengejutkan Indonesia untuk meraih pingat emas pada satu tamasya Sukan Asia Tenggara (SEA) sedangkan kecundang dalam acara lain.
Pada temasya Pesta Bola Sepak Merdeka yang lalu, pasukan negara kecundang kepada Vietnam melalui sepakan penalti pada perlawanan akhir, sedangkan keseluruhannya dan malahan di atas kertas, pasukan negara mengungguli permainan itu.
Malaysia bermula dengan baik apabila mampu menundukkan Laos 3-0 pada perlawanan sulung Piala Suzuki Persatuan Bola Sepak Asean (AFF) di Phuket, Thailand. Malangnya Malaysia dimalukan sekali lagi lagi oleh pasukan Vietnam 3-2 dan pasukan tuan rumah Thailand 3-0. Oleh itu pasukan Malaysia lagi sekali gagal melayakkan diri keperlawanan separuh akhir.
Impian dan harapan mengunung ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David, selaku pemain nombor satu dunia, untuk membantu negara membaiki kedudukan rangking ketiga dunia tidak kesampaian apabila kecundang kepada tuan rumah 2-1 peringkat separuh akhir di Mesir.
Pun begitu, ucapan syabas dan tahniah setinggi-tinggi nya wajar dikalungkan kepada tiga serangkai, Nicol, Delia Arnold dan Sharon Wee kerana berjaya menundukkan New Zealand untuk penentuan tempat ketiga, kedudukan sama ketika kejohanan berlansung dua tahun lalu di Edmonton.
Faktor terpenting disebalik kekalahan kita pada peringkat separuh akhir ditangan tuan rumah rasanya terletak pada mutu permainan tidak setara khususnya pemain kedua dan ketiga berbanding Nicol.
Sementara Nicol mengalahkan lawan pada semua peringkat, pemain kedua dan ketiga terus malang kepada lawan masing-masing.
Kepincangan ini turut didepani gelanggang sukan lain terutama badminton apabila kita gagal pada pertandingan akhir khusus dengan China kerana ketiadaan pemain ketiga yang handal lagi dapat diharapkan selepas kedudukan terikat dua sama.
Jurang mutu permainan atlit baik skuasy mahupun badminton dapat dirapatkan dengan mencungkil dan pendedahan bakat pelapis kepada sistem latihan kosisten.
Kita beruntung kerana Majlis Sukan Sekolah-sekolah (MSSM) selamanya berperanan proaktif dalam mencungkil bakat baru ini.
Mentaliti ibu bapa perlu berubah untuk melihat keseimbangan prestasi anak dari segi akademik dengan kokurikulum dan sukan.
Bakat muda yang sudah dikenal pasti melalui sokongan dan pendedahan ibu bapa perlu disalurkan kepada persatuan sukan masing-masing, untuk mendapat galakkan serta latihan intensif yang berterusan.
Mereka perlu mendapat pendedahan seterusnya khusus melalui penyertaan pada Temasya Sukan Sekolah-sekolah Asean dan Acara Sukan Universiti Asean.
Sukan Malaysia (Sukma) patut menjadi medan paling puncak dalam penggilapan dan pemantapan kejurulatihan dan latihan atlit bakat muda negara, dengan sokongan semua pihak.
Negara beruntung kerana Timbalan Perdana Menteri Datuk seri Najib Razak, selaku Pengerusi Jawatankuasa Kabinet mengenai Pembangunan Sukan Negara, amat prihatin mengenai usaha peningkatan mutu sukan.
Pastinya arena sukan negara bakal mengalami dimensi baru apabila 2009 mengetuk pintu, dimensi menjanjikan kelahiran pasukan negara seimbang dan setara dalam apa juga acara sukan.
0 Komen Anda:
Catat Ulasan