Lawat Stamford Bridge, jalani latihan di Akademi Latihan Chelsea FC dan jumpa pemain profesional dunia
"PENGALAMAN yang sukar untuk dilupakan." Itulah dirasakan peserta yang dipilih menyertai program "Train Like A Pro" anjuran Samsung Malaysia Electronics Sdn Bhd dengan kerjasama Chelsea FC di London, pada 21 November lalu.
“Ia bagai mimpi buat kami kerana selain dapat melawat Stamford Bridge, stadium utama Chelsea FC, kami juga diberi peluang bertemu dengan pemain bola sepak terkemuka dunia termasuk pengurus, Luis Felipe Scolari,”.
Katanya, maklumat yang diperoleh dalam program itu bukan hanya mengenai bola sepak profesional, sebaliknya lebih daripada itu terutama membabitkan perniagaan dan pelancongan sukan.
Empat pemain bola sepak yang menyertai program julung kali diperkenalkan Samsung Malaysia Electronics Sdn Bhd ialah Justin dan Sonuljit Singh manakala dua pemain profesional UPB/MY Team ialah Azrul Azmi dan Mohd Nazrin Mohd Nawi, yang masing-masing berusia 20 tahun.
Mereka dipilih daripada 20 remaja dalam lingkungan umur 18 hingga 21 tahun untuk beraksi merebut empat tempat di Akademi Latihan Chelsea FC di Cobham dalam rancangan seperti program realiti itu pada November lalu
Pada hari pertama peserta program termasuk wakil kelab penyokong Chelsea, Famemas dan media dibawa melawat Stadium Stamford Bridge yang hanya berada beberapa meter dari hotel penginapan mereka, Hotel Millennium & Copthorne.
Mereka kemudian diberi peluang melihat lebih dekat bilik persalinan pemain Chelsea FC, bilik persalinan pasukan pelawat, bilik taklimat, bilik fisioterapi, bilik sidang akhbar, bilik media, tempat duduk penonton, padang dan pelbagai lagi.
Mereka juga didedahkan mengenai keistimewaan yang diberikan kepada ketua pasukan, John Terry apabila pemain itu juga mempunyai tempat fisioterapi khas yang disediakan di Stamford Bridge.
Semua peserta kemudian dibawa melawat Akademi Latihan Chelsea FC, yang berada kira-kira 30 kilometer dari Stamford Bridge.
Mereka diberi taklimat mengenai akademi itu yang memilih pemain remaja untuk menjalani latihan, selain mendapat pendidikan asas seperti remaja lain di kolej sekitar Cobham.
Pemain remaja ini dibahagikan kepada beberapa peringkat sebelum diserapkan ke pasukan simpanan dan pasukan utama berdasarkan kemajuan yang dicapai mereka.
Selepas diberi taklimat, peserta turut didedahkan dengan latihan bola sepak yang dikendalikan jurulatih profesional Akademi Latihan Chelsea FC.
Pada peringkat awal setiap peserta dan wakil media menerima latihan kecergasan. Selepas itu mereka diberi latihan menggelecek, membuat hantaran dan sepakan. Apa yang menarik, peserta juga boleh menilai sejauh mana kelajuan bola yang mereka sepak menerusi satu alat yang disediakan di akademi itu.
“Tidak ada banyak perbezaan corak latihan kecergasan dan teknikal yang diberi di akademi ini dengan corak latihan pasukan saya. Cuma yang membezakan di sini ialah cuaca dan jenis pemakanan,” kata Mohd Nazrin yang sudah menyertai UPB/My Team sejak tiga tahun lalu.
Sesuatu yang menarik mengenai latihan di akademi itu ialah walaupun keletihan, tidak ada setitik peluh pun yang menitis kerana cuaca ketika itu sejuk, lima darjah celsius.
Penulis bagaikan mimpi menjalani latihan di Akademi Latihan Chelsea FC di Cobham, London
Apapun beliau berbangga kerana dipilih menyertai program ini kerana diberi peluang melihat latihan yang dijalankan pemain Chelsea FC.
“Tahap profesional pemain memang tinggi kerana walaupun berlaku pergaduhan membabitkan Michael Ballack dan Ashley Cole ketika latihan itu, mereka tetap meneruskannya dan tidak terus bertelagah,” katanya.
Paling membanggakan keletihan peserta terubat apabila diberi peluang bertemu pemain profesional Chelsea FC seperti Frank Lampard, Joe Cole, John Obi Mickel, Florent Malouda, Scott Sinclair, Ashley Cole, Petr Cech dan lain-lain.
Cuma mereka sedikit terkilan apabila bayang nama-nama hebat seperti Nicolas Anelka, John Terry, Deco dan Dider Drogba tidak kelihatan kerana tidak menyertai latihan yang dikendalikan Scolari itu.
Yang pasti peluang bergambar kenang-kenangan dengan beberapa pemain profesional pastinya sukar untuk dilupakan sepanjang hidup peserta.
Wakil Samsung Malaysia Elektronik Sdn Bhd, Lynne Lee, berkata pembabitan syarikat itu dalam rancangan program realiti ini adalah sejajar dengan komitmen Samsung untuk membangunkan dan mempromosi acara sukan terutama di Malaysia.
"Mengikut tradisi, Samsung sentiasa menjadi penghubung dengan menyokong acara sukan seperti bola sepak di samping dapat terus menjalin hubungan erat kami bersama Chelsea sebagai penaja rasmi.
“Sambutan yang diterima sepanjang uji bakat itu amat menggalakkan dan semangat tinggi ditunjukkan oleh bakat muda," katanya.
INFO: Chelsea FC
• Stamford Bridge menjadi stadium utama dan dibuka secara rasmi pada 28 April 1877.
• Digunakan selama 28 tahun untuk olahraga oleh London Athletic Club.
• Pada 1904 HA Mears dan JT Mears mengambil alih kawasan seluas 12.5 hektar itu dan menjadikannya stadium bola sepak.
• Stadium hanya mempunyai satu tempat duduk pada 1973 dan bertampaba kepada 42,360 tempat duduk sejak 2001.
• Kawasan terus membangun apabila wujud dua hotel bertaraf empat bintang, lima restoran, dewan seminar, kelab malam, tempat letak kereta bawah tanah, kelab kesihatan dan pusat perniagaan.
• Samsung Electronics Co. Ltd menjadi penaja sejak 25 April 2005.
• Chelsea FC muncul sebagai juara Liga Perdana Inggeris, Piala FA, Piala Liga, Liga Juara UEFA dan Piala UEFA.
• Lima tahun lalu, Chelsea FC mendominasi bola sepak England apabila meraih dua kali Piala Liga Perdana Inggeris, Piala Liga (2), Piala FA dan berjaya ke akhir Liga Juara UEFA.
0 Komen Anda:
Catat Ulasan