CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Ahad, 7 Disember 2008

Selamatkan Bola Sepak Kita

Pasukan bola sepak Malaysia

Skuad bola sepak Malaysia mencatatkan kemenangan 3 - 0 ke atas Laos dalam perlawanan pertama Kejohanan Bola Sepak Piala Suzuki AFF di Phuket, malam tadi.

Penyertaan dalam kejohanan itu adalah satu lagi cubaan diantara sekian banyak usaha Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memulakan kebangkitan pasukan bola sepak negara.

FAM meletakkan harapan besar tetapi rakyat khususnya peminat sukan itu sudah tidak teruja dan tidak lagi mengharap.

Sudah banyak diperkatakan tentang kemerosotan prestasi pasukan bola sepak kita di arena antarabangsa. Lebih dua dekad merundum tetapi sehingga kini kita belum mampu bangkit seakan-akan terkena sumpahan.

Dalam tempoh tersebut, segala prasarana sukan termasuk stadium telah berkembang pesat. Sehingga banyak yang bertaraf dunia. Insentif demi insentif teryata jauh lebih baik berbanding kebanyakkan negara. Perhatian yang hebat tetap diberikan tetapi tiada hasil. Sebagai negara tradisi bola sepak, realiti itu cukup memeritkan.

Barisan dan gandingan pemain negara banyak kali berubah. Jurulatih silih berganti termasuk dari luar negara, begitu juga dengan pengurus pasukan. Yang cuma belum berganti ialah kepimpinan tertinggi FAM.

Bukan setakat rakyat, pemimpin negara turut kecewa. Pada sesi pembentangan Bajet pada September 2002, Perdana Menteri ketika itu, Dr. Mahathir Mohamad membangkitkan persoalan "apa sudah jadi" dengan pasukan bola sepak Malaysia semasa menyentuh tentang pencapaian sukan.

Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi juga pernah melahirkan rasa sedih terhadap hal yang sama.

Bagi sebahagian rakyat, kejayaan Malaysia menumpaskan Korea Selatan 2-1 untuk layak ke Olimpik Moscow pada 1980 masih segar dalam ingatan. Malaysia juga pernah layak ke Sukan Olimpik Munich dan mendapat pingat gangsa Sukan Asia di Teheran.

Setakat itulah memori terindah sejarah bola sepak negara. Skuad negara kemudian menjadi pasukan belasahan termasuk negara jiran serantau yang selalu sentiasa di bawah rekod pencapaian Malaysia.

Rangking kita terus merundum dan kini berada pada kedudukan ke-151 dunia.

Dua dekad adalah tempoh yang lama ternyata FAM gagal membawa kebangkitan kepada bola sepak negara sebagaimana yang pernah dikecapi ketika era kegemilangan bermula dekad 1950 hingga awal 80an.

Sebab itu, penulis lega apabila Jawatankuasa Kabinet mengenai sukan yang bermasyuarat Isnin lalu memandang serius terhadap kemerosotan prestasi bola sepak negara.

Jawatankuasa tersebut yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Nasib Tun Razak mahu pendekatan komprehensif diambil bagi menyelamatkan sukan itu. Antara keputusan yang dicapai ialah Kementerian Belia dan Sukan perlu segera berunding dengan FAM.

Yang penting ialah kerajaan perlu campur tangan sebagaimana dilakukan oleh beberapa negara. Usaha mengembalikan kegemilangan bola sepak kita perlu dijadikan misi nasional.

Sebenarnya ini adalah masa untuk bertindak. Tidak guna lagi untuk saling mengkritik dan bercakap banyak sedangkan setiap hari pencapaian tidak meningkat, sebaliknya dibelenggu banyak masalah termasuk kelemahan pengurusan persatuan negeri, masalah kewangan dan rasuah selain mutu permainan yang rendah.

Nampaknya soal menyelamatkan bola sepak terpaksa juga menjadi misi Najib selain hal-hal lebih besar seperti ekonomi dan kestabilan politik apabila beliau menjadi Perdana Menteri nanti. Persoalannya akan berjayakah beliau?

0 Komen Anda: