CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Rabu, 17 Disember 2008

Ambil bakat baru tingkat mutu bola sepak

B. Satiananthan

Saya gembira dengan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang melanjutkan setahun lagi kontrak jurulatih B. Satianathan untuk mengemudikan pasukan bola sepak negara untuk terus mengharungi cabaran pada persada antarabangsa.

Keputusan ini dialu-alukan dalam kemelut ketidak tentuan masa depan jurulatih tempatan kita itu yang akan tamat tempoh kontraknya akhir bulan ini. Keresahan pelbagai pihak kini sudah terjawab. FAM sesungguhnya membuat pilihan yang tepat.

Sekurang-kurangnya buat masa ini kita tidak perlu tergesa-gesa mahu mencari jurulatih baru. Banyak buruk daripada baiknya menukar jurulatih saban tahun. Sikap cepat melenting iaitu tidak boleh kalah sedikit, sudah mahu menukar jurulatih. Apatah lagi, Sathia yang baru meminpin dan melatih pasukan tempoh hanya setahun.

Tentu sahaja beliau tidak mampu 100 peratus dan menjanjikan pulangan drastik dalam masa waktu sesingkat itu. Jika kita imbas kembali sejarah kejurulatihan negara, ke mana perginya Bertalan Biskei? Apa yang terjadi kepada Claude de Roy?

Mereka ini bukankah jurulatih kelas dunia. Mereka bukanya calang-calang jurulatih. Sayangnya, mereka ternyata gagal di Malaysia walaupun anehnya berjaya pula apabila melatih pasukan negara lain. Ada pelbagai konotasi positif dan negatif daripada senario yang berlaku ini.

Setakat penulis faham, pada peringkat tertinggi permainan dan pengurusan bola sepak ini, kerja jurulatih adalah untuk menajamkan stamina, menguatkan mental dan fizikal serta merencanakan taktikal permainan. Itu sahaja.

Tiada lagi jurulatih membuat kelas bagi pemain untuk ditunjuk ajar bagaimana mahu menyepak bola, menggelecek lawan atau mengasah kemahiran bersifat individu. semua pemain yang dipilih atau terpilih sepatutnya sudahpun mempunyai bakat semula jadi dan mempunyai asas skill permainan bola sepak ini yang mereka pelajari ketika peringkat sekolah, derah, kelab mahupun negeri terdahulu.

Oleh itu, berbalik kepada senario di atas, permainan bola sepak ini sebenarnya kalaupun tidak 100 peratus, hampir 90 peratus adalah permainan tulen daripada pemain itu sendiri, bukan jurulatih.

Ia bermakna, tiada guna diambil Maradona atau Pele sekalipun untuk datang melatih pemain kita jika bakat kita ada untuk negara hanyalah setaraf pemain kelab bahagian tiga di Botswana. Ia hanya membuang wang ringgit rakyat dan tidak dapat banyak membantu dalam membangunkan bola sepak negara.

Pemain perlu berusaha membangunkan permainan diri sendiri melebihi segala-galanya. Ia adalah kerana bola sepak adalah perniagaan. Pemain juga harus memahami bahawa dirinya hanya akan dibeli mana-mana pasukan sekiranya memiliki kelebihan lain.

Oleh itu juga pada hemat penulis, hanya pemain yang perlu ditukar bukan jurulatih. Kita perlu mempunyai banyak pilihan pemain pelapis yang dipilih dari negeri dan kelab yang bertanding pada semua peringkat liga bola sepak Malaysia dan bukan memilih hanya mereka yang bermain di liga Super sahaja.

Bonus dan pakej insentif kewangan lain yang menarik bagi pemain yang mewakili negara juga boleh difikirkan FAM bagi menarik minat pemain yang dipilih untuk segera menyarung jersi negara tanpa dapat mereka memberikan pelbagai alasan untuk menolakapabila saja nama mereka tertera.

Begitupun, jangan pula setiap kali apabilah kalah di mana-mana kejohanan, sepantas itu juga pemain mahu ditukar ganti. Ia akan hanya merosakkan dan mencacatkan persefahaman yang baru sahaja dibina bersama. Beri mereka peluang dulu dan lebihkan sedikit masa untuk mereka bermain bersama supaya menjadi lebih serasi.

Lihat sahaja kepada pasukan Kedah. Kita boleh mengambil iktibar daripada mereka. Beberapa tahun nama Kedah malap dan lenyap daripada peta bola sepak negara? Cuba anda ingat pada akhir tahun 80an dulu, sebelum mereka kembali bangkit untuk menerajui takhta bola sepak negara?

Mereka membuang masa bertahun lamanya dan senyap-senyap mengilap barisan muda yang kini nampaknya berhasil dan persembahan pasukan mereka kini nampaknya berhasil dan persembahan pasukan mereka kini amat bergaya dan berjaya.

Itulah hakikatnya bagi bola sepak. Ia adalah permainan berpasukan. Ia juga perlu mengambil masa untuk mematangkan persefahaman. Pasukan yang dibentuk tidak boleh menjadi pasukan yang terhebat dalam hanya sekelip mata.

Sekali lagi, tahniah kepada FAM dan tahniah kepada Sathiananthan. Semoga 2010 dan seterusnya nanti, kita akan dapat menyaksikan kebangkitan semula pasukaan kita dalam sukan nombor satu dunia ini.

0 Komen Anda: