CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Jumaat, 12 Disember 2008

Pasukan 'Tangkap Muat' punca kelemahan Bola Sepak Negara

Melihat siaran langsung perlawanan bola sepak antara Thailand dan Malaysia petang kelmarin, tidaklah begitu mengembirakan penulis.

Sasaran menang besar yang digempar-gempurkan di akhbar pada hari sebelumnya teryata jauh meleset.

Tamat pada separuh masa pertama, bukan lagi menang besar, malah kalah besar sudah boleh diduga.

Bukan kekalahan 0-3 yang menduka citakan atau pengadil berat sebelah yang menyedihkan, tetapi corak permainan pasukan kebangsaan kita yang tidak ketentuan hala, cukup memuakkan.

Jangan salahkan jurulatih. Latihan sudah diberi. Sathiananthan juga mungkin meluahkan segala ilmu yang dipelajari kepada semua anak buahnya. Pendek kata, kita sudah siap sedia, terutama dari segi taktikal.

Sebelum ke Phuket, di atas kertas dan di padang mungkin semua percaturan dan strategi sudah dicatat, dicuba dan diajarkan. Tetapi tempoh masa latihan yang pendek mungkin membataskan kecekapan mereka.

Perlu kita sedari, apabila berada di padang, apa lagi yang boleh dibuat oleh jurulatih. Terserahlah hampir 95% ke atas pemain untuk mencorakkan permainan. Ada ketikanya penulis pernah melihat jurulatih pening kepala kerana anak buah bermain tidak mengikut langsung perancangan atau strategi.

Maka, di sinilah ketua pasukan perlu memainkan peranan sebagai ganti jurulatih untuk mengemudi pasukannya untuk terus bersaing atau bermain mengikut corak perancangan asal. Apakah kredet boleh dicari kepada ketua pasukan negara? Apakah dia sudah menterjemahkan segala arahan yang diterimanya? Terpulanglah kepada pembaca untuk menilainya.

Apa yang penulis nampak begitu ketara adalah pasukan negara tidak mempunyai semangat juang yang tinggi iaitu mampu untuk berjuang hingga ke titisan peluh terakhir. Berbanding pasukan Vietnam, Thailand dan Myanmar tau Indonesia, mereka rata-rata mempunyai semangat juang yang sangat tinggi.

Biar kalah tidak mengapa, tetapi mereka kalah melawan. Slogan 'Agi Idup Agi Ngelaban' (Selagi Hidup Selagi Melawan) tidak ada pada skuad bola sepak kita. Mungkin juga ini berlaku lantaran stamina yang tidak mencukupi.

Inilah perkara pokok perlu diatasi pada masa depan. Ada banyak punca kenapa ia terjadi. Mungkin kerana tempoh latihan terlalu singkat untuk membina stamina berganda atau pemain veteran yang sudah kepupusan tenaga.

Apabila tenaga sudah tinggal tiga selinder, apa yang dibuat tak menjadi. Ibarat satu mesin yang sudah tertanggal satu skru.

Bahagian yang lain pasti tidak akan berfungsi sebaik yang dijangka kerana sudah ada kekurangan di sini sana.

Ringkasnya, stamina boleh menjadi pembunuh nombor satu sukan bola sepak ini. Ia boleh jadi penentu kepada kemantapan atau kegagalan sesuatu pasukan itu.

Ketiadaan stamina bererti apa dibuat tidak menentu, semua pergerakkan menjadi kaku. Pemikiran juga menjadi buntu dan kesilapan sering berlaku.

Oleh itu, segeralah menganti dengan pemain muda belia. Binalah pasukan kebangsaan dengan meramaikan pemain peringkat baru. Ambil masa dua atau tiga tahun lagi menyediakan mereka untuk bertarung ke peringkat antarabangsa. Itu lebih baik daripada menghantar pasukan yang prestasinya suam-suam kuku dan hanya merosakkan lagi nama negara pada persada antarabangsa.

Sebagai kesimpulan, sebagai sesuatu yang pasti, tidak perlulah kita, apabila kalah dalam satu kejohanan terus menukar jurulatih. Ia pendekatan yang kurang cerdek. Yang patut dibuat, kita perlu menyediakan pasukan secara bersistemmatik.

Mungkin cara pasukan Kedah membina pasukan boleh kita jadikan acuan untuk diaplikasi kepada pembinaan pasukan kebangsaan.

Tabiat memilih pemain secara rawak dan tangkap muat tidak dapat membantu kepada peningkatan mutu permainan serta prestasi antarabangsa pasukan bola sepak kebangsaan kita.

Jika sikap ini berkekalan, pasukan kita terus -terusan dibelasah dan dimalukan oleh pasukan yang dulunya hanya pasukan hingusan.

0 Komen Anda: