CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Selasa, 6 Januari 2009

MOM, MSN wajar akhiri sengketa

Usaha menyediakan atlit ke Sukan Sea yang hanya 11 bulan lagi harus diutamakan

'PERGESERAN' antara Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) jelas tarikan paling menarik memasuki tahun baru 2009 ini. Ia ibarat bola yang melantun daripada satu sudut ke sudut berbeza yang berterusan tanpa henti.

MSN meluahkan cadangan supaya Sukan Sea di Laos hujung tahun ini ditandingi atlit-atlit pelapis negara - pendirian yang diputuskan menerusi mesyuarat Lembaga Pengurus MSN.

Kemudiannya, Datuk Sieh Kok Chi bingkas menegaskan cadangan sebegitu tidak boleh dilakukan, kerana barisan atlit terbaik negara sepatutnya dihantar untuk temasya serantau itu.

Isu itu kemudiannya disertai Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang 'menempelak' Kok Chi kerana mendakwa ada wakil MOM, Low Beng Choo, ketika mesyuarat itu dan dia juga sudah menyatakan persetujuan.

Tetapi Kok Chi nampaknya punya 'senjata' lebih ampuh - menerusi ketetapan Lembaga MOM yang empat tahun sebelumnya - sudahpun memutuskan bahawa temasya Sukan Sea bukan untuk tempat pendedahan atlit.

Penulis tidak mahu menyebelahi mana-mana pihak. Apa yang penting adalah fakta.

Perkara pokok yang jelas mungkin tidak disedari MSN adalah terdapatnya had kelayakan yang perlu diatasi. Tidak kira sama ada ia atlit elit atau pelapis, jika mereka melepasi had itu, maka sudah ada tiket buat mereka.

Penulis juga percaya apa yang dimaksudkan MSN dengan atlit pelapis adalah daripada kelompok elit remaja, bukannya mereka yang terlalu mentah.

Bagi penulis, tidak ada ertinya pentas pendedahan jika atlit tidak tahu menggunakan peluang itu untuk menimba ilmu, kecuali sekadar mahu bergesel bahu dengan atlit handalan negara lain tapi 'kecut perut' di gelanggang.

Lagipun, ada antara atlit muda berkenaan sudah mendapat pendedahan awal menerusi Sukan Universiti Asean, bulan lalu, walaupun ada yang masuk mengikut 'pintu belakang' pada ketika penganjur ghairah 'sanggup melakukan apa sahaja' kerana mahu negara muncul juara keseluruhan - sesuatu yang tidak harus kita persalahkan Laos apabila kita sendiri 'menghalalkannya' di sini.

Tidak perlu penulis menamakan atlit terbabit pada kejohanan yang menyaksikan penyumbang pingat emas juga banyak datangnya daripada atlit elit dan pelapis negara, bukan yang betul-betul dilahirkan Majlis Sukan Universiti-universiti Malaysia (Masum).

Bagi penulis, bukan soal berapa pingat kita akan hilang di Laos yang harus ditekankan, biarpun ada pihak mendakwa langkah mahu menghantar atlit pelapis mampu dilihat sebagai alasan awal jika gagal mengulangi pencapaian 68 emas di Sukan Sea Korat pada 2006.

Apa yang penting ketika ini adalah MSN dan MOM sama-sama memastikan ada usaha untuk mendapatkan emas menerusi sukan yang kekal dipertandingkan di Laos, bukan menangisi apa yang hilang, apa lagi ia bukan sesuatu yang pasti.

Malah, dengan pengurangan acara daripada 43 acara sukan di Korat kepada 25 di Laos, ia seharusnya menjadi satu hikmah kepada MSN dan MOM apabila hanya perlu memberi tumpuan khusus kepada jumlah sukan yang lebih kecil.

Ia bukan tidak pernah berlaku. Malah Sukan Sea di Brunei pada 1999 turut mempertandingkan 21 acara sukan berbanding jumlah 34 acara ketika Sukan Sea Jakarta 1977 sebelumnya.

Pungutan 57 emas di Brunei ketika itu dianggap pencapaian terbaik negara di luar negara dalam temasya Sukan Sea sebelum memperbaikinya di Korat.

Jadi, penulis berharap sangat jika kedua-dua pihak dapat melupakan sengketa itu, sebaliknya memikirkan usaha menyediakan atlit ke temasya itu ketika ia hanya berbaki 11 bulan lagi.

Penulis percaya peminat sukan boleh menerima jika atlit elit memilih mengetepikan Sukan Sea selepas tidak lagi dicabar di peringkat Asia Tenggara, tapi jika tahap terendah sukan serantau itu tidak mampu ditawan, jangan pula memasang angan yang terlalu tinggi pula.

Pokoknya, maruah negara tetap perlu dipertahankan di Sukan Sea.

0 Komen Anda: