MAHKOTA belum pernah dijangkaunya kini hampir dalam genggaman pemain utama negara, Lee Chong Wei, yang menjelmakan aksi penuh keyakinan buat layak ke final badminton Siri Super Terbuka Korea Selatan, semalam. Chong Wei - masih segar daripada kejayaan Terbuka Malaysia, minggu lalu - tidak bermasalah mengetepikan cabaran pemain Poland, Wacha Przemyslaw 21-17, 21-12 dalam tempoh 28 minit. Lawannya pada final hari ini ialah Peter Gade dari Denmark, yang mara gara-gara penarikan diri lawannya dari Indonesia, Simon Santoso.
Meneliti aksi dipamerkannya semalam, Chong Wei jelas berkeazaman untuk memulakan Siri Super tahun ini dengan gelaran berganda, tambahan pula Terbuka Korea Selatan sentiasa dianggap medan malang buatnya. Pencapaian terbaik Chong Wei sebelum kemaraan ke final kali ini - sejak kali pertama menyertai Terbuka Korea pada 2003 - hanyalah dua penampilan pada peringkat suku akhir. Gelaran juga akan mampu mengukuhkan dominasinya pada status pemain nombor satu dua sebelum turun memburu gelaran paling diidamkannya - Seluruh England - Mac nanti.
Sementara itu, Tine Rasmussen dari Denmark juga akan cuba merangkul gelaran kedua berturut-turut - selepas Terbuka Malaysia - apabila turun dalam final perseorangan wanita bertemu pemain Perancis, Pi Hongyan. Tine menewaskan pemain Hong Kong, Wang Chen 21-10, 21-11 untuk ke final ketika Hongyan mengejutkan pilihan utama, Zhou Mi, hasil kemenangan 23-21, 19-21, 21-12 dalam pertentangan sengit berlanjutan selama 59 minit. Beregu lelaki akan menyaksikan beregu tuan rumah, Lee Young Dae-Jung Jae Sung menentang lawan dari Denmark, Mathias Boe-Carsten Mogensen ketika Lee Hyo Jung-Lee Kyung Won bertemu gandingan Taiwan, Cheng Wen Hsing-Chien Yu Chin pada final beregu wanita. SEPARUH AKHIR SIRI SUPER TERBUKA KOREA SELATAN
Perseorangan lelaki: Lee Chong Wei (Mas) mn Wacha Przemyslaw (Pol) 21-17, 21-12; Peter Gade mn Simon Santoso (menarik diri) Perseorangan wanita: Tine Rasmussen (Den) mn Wang Chen (HK) 21-10, 21-11; Pi Hongyan (Per) mn Zhou Mi (HK) 23-21, 19-21, 21-12 Beregu lelaki: Jung Jae Sung-Lee Young Dae (Kor) mn Lars Paaske-Jonas Rasmussen (Den) 21-11, 21-7; Mathias Boe-Carsten Mogensen (Den) mn Fang Chieh Min-Lee Sheng Mu (Tai) 21-16, 21-14 Beregu wanita: Cheng Wen Hsing-Chien Yu Chin (Tai) mn Gao Ling-Wei Yili (Chn) 21-15, 21-17; Lee Hyo Jung-Lee Kyung Won (Kor) mn Yang Wei-Zhang Jiewen (Chn) 21-16, 18-21, 21-10 Beregu campuran: Songphon Anugritayawon-Kunchala Voravichitchaikul (Tha) mn V Diju-Gutta Jwala (Ind) 21-19, 22-20; Lee Young Dae-Lee Hyo Jung (Kor) mn Yohan Hadikusumo-Chau Hoi Wah (HK) 21-16, 21-11
0 Komen Anda:
Catat Ulasan