Tewas Sung-hwan kali kedua dalam seminggu untuk mara ke separuh akhir
PEMAIN perseorangan utama negara, Lee Chong Wei semakin menghampiri gelaran keduanya dalam Siri Super tahun ini, apabila meneruskan langkah ke separuh akhir Terbuka Korea, selepas menewaskan pemain tuan rumah, Park Sung-hwan 18-21, 21-7, 21-16 semalam. Ini adalah kemenangan kedua berturut-turut pemain nombor satu dunia itu ke atas Sung-hwan selepas menang dalam perlawanan akhir Terbuka Malaysia, Ahad lalu.
Namun berbeza dengan kemenangan mudah di Kuala Lumpur, Chong Wei berdepan kesukaran mengawal rentak permainan pada set pertama semalam dan ia membolehkan Sung-hwan menewaskannya 21-18, sebelum menjelmakan kebangkitan. Pemain kelahiran Pulau Pinang itu menguasai sepenuhnya perlawanan di set kedua untuk menang 21-7, sebelum memastikan kemaraan dengan kemenangan 21-16 di set penentuan selepas pertarungan selama 59 minit. Menanti Chong Wei di separuh akhir hari ini ialah pilihan ketujuh dari Poland, Przemyslaw Wacha yang mara selepas menewaskan Chan Yan Kit dari Hong Kong dengan 21-16, 21-16.
Satu lagi pertemuan separuh akhir perseorangan lelaki adalah antara pemain veteran Denmark, Peter Gade dan Simon Santoso dari Indonesia. Gade mara selepas menewaskan seorang lagi pemain tuan rumah, Shon Wan-ho 21-13, 9-21, 21-17 manakala Simon mengesahkan tempat dengan menundukkan rakan senegaranya, Andre Kurniawan Tedjono 21-6, 21-8. Sementara itu, cabaran pasangan beregu veteran, Chong Tan Fook- Lee Wan Wah berakhir di suku akhir selepas tewas kepada pasangan Taiwan, Fang Chieh Min- Lee Sheng Mu dengan 21-14, 22-20.
0 Komen Anda:
Catat Ulasan