MISBUN (kanan) mengucap tahniah kepada Chong Wei selepas menewaskan Gade di Stadium Putra, Bukit Jalil, petang semalam.
RANJAU penuh berduri ciptaan Peter Gade dilepasinya untuk Lee Chong Wei hanya perlu menempuh satu lagi halangan dalam misi mengungguli gelaran Siri Super Terbuka Malaysia buat kali kelima dalam tempoh enam tahun di Stadium Putra, hari ini. Andai pameran aksi semalam jadi ukuran, Park Sung-hwan dari Korea Selatan yang bakal jadi lawan jelas harus dibelenggu resah kerana Chong Wei tampak sudah menemui rentak ketika melakarkan kemenangan 24-26, 21-17, 21-13 dalam tempoh 61 minit ke atas jaguh Denmark itu.
Lebih penting, dia sudah mengharungi perjalanan penuh sukar - kemenangan ketiga dalam pertentangan tiga set berturut-turut. Malah ketahanan dan kesabaran menongkah cabaran juga tampak sudah teruji sepenuhnya. “Saya harus akui bahawa saya terkejut pada awal permainan kerana Gade bijak mengubah pukulan. Saya memang tidak sangka dia mampu menghasilkan kelajuan aksi sebegitu. “Sudah lama saya tidak bersaing sengit dengannya seperti hari ini. Dia memang pemain berpengalaman tetapi hari ini, saya buktikan bahawa saya juga punya ketahanan mental yang lebih kuat,” tegas Chong Wei.
Memang bimbang itu ketara apabila Gade berjaya menang set pertama dalam tempoh 23 minit. Malah pada set kedua, jurang mata amat kecil - sehampir 17-16 - sebelum Chong Wei lebih sabar mengawal pukulan dan menanti peluang terbaik sebelum menyerang. Hasilnya, dia menang selepas 19 minit untuk memaksa set penentuan. “Pada set ketiga, saya beraksi lebih pantas dan dia jelas tidak mampu mengikutinya,” kata Chong Wei. Gade pula sekadar menggeleng kerana menyifatkan dia ada peluang untuk menang, cuma masih ada sedikit kekurangan untuknya terus dihantui kekecewaan. “Persembahan saya bagus. Saya ada peluang untuk menang. Malah saya letakkan Chong Wei dalam keadaan tertekan. Sayangnya tekanan itu tidak berterusan dan apabila menentang pemain seperti Chong Wei, jika diberi ruang, dia akan cepat kembali yakin dan memanfaatkannya,” akui Gade.
Sung-hwan menempah peluang bertentangan dengan Chong Wei selepas mudah menewaskan pemain Taiwan, Hsieh Yu Hsin 21-13, 21-14 dalam satu lagi separuh akhir. Final perseorangan wanita menyaksikan pemain Denmark, Tine Rasmussen akan cuba mempertahankan gelarannya menentang pilihan utama dari Hong Kong, Zhou Mi. Juara bertahan beregu lelaki, Markis Kido-Hendra Setiawan bagaimanapun tumpas kepada gandingan senegara, Alvent Yulianto-Hendra Gunawan yang akan melayan Jung Jae-sung-Lee Young-dae dari Korea Selatan.
0 Komen Anda:
Catat Ulasan