CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Rabu, 28 Januari 2009

FAM kena proaktif bangunkan jati diri skuad negara


MESYUARAT Jawatankuasa Eksekutif, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dijangka berlangsung, 1 Februari. Kali ini kita mengharapkan FAM mengambil beberapa langkah yang boleh memberi impak besar kepada kemajuan bola sepak negara yang kian lesu. 

Bagi membolehkan martabat bola sepak negara dipulihkan, FAM tidak mempunyai pilihan selain mengambil beberapa tindakan yang mampu memberi kesan terhadap pasukan bola sepak kebangsaan, Persatuan Bola Sepak Negeri (FA negeri) dan pasukan yang bertanding dalam Liga-M. 

Berikut cadangan lima agenda penting yang memerlukan penelitian FAM:

• FAM dan FA negeri perlu kembali mengukuhkan pembangunan bola sepak pada peringkat akar umbi. FA negeri tidak boleh terus lesu memandangkan mereka adalah pengantara kepada FAM dari segi membangunkan bakat baru bola sepak negara. 

Tidak mustahil akan lahir lebih ramai Mokhtar Dahari, Santokh Singh, Syukor Salleh, Soh Chin Aun dan R Arumugam jika FA negeri lebih proaktif dalam soal penubuhan akademik bola sepak yang mengumpulkan bakat pada peringkat remaja, mengukuhkan kedudukan kewangan persatuan melalui penajaan dan pengiklanan, memantau hala tuju pemain remaja pada peringkat sekolah dan menyusun semula pengendalian liga bola sepak peringkat daerah. 

Sesuatu perlu dilakukan supaya liga pada peringkat negeri dan daerah diberi nafas baru agar menjadi lubuk yang melahirkan pemain berkaliber. Pengurusan pertandingan liga peringkat negeri dan daerah yang seragam dengan tumpuan terhadap format pertandingan, bantuan kewangan, kejurulatihan, sistem ganjaran kepada pemain, umur pemain, panel penilai dan sebagainya perlu menjadi satu daripada agenda penting FAM.

• FAM juga patut memikirkan apakah yang boleh dilakukan untuk meningkatkan jati diri, sikap dan semangat cintakan negara di kalangan pemain kebangsaan. FAM boleh mengambil model Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bagi mengolah satu program tahunan yang khusus dengan kandungannya menjurus kepada aktiviti fizikal, khidmat masyarakat, motivasi dan sebagainya. 

Ini perlu untuk melahirkan pemain yang bukan saja berbakat dari segi permainan, malah pemain yang mempunyai semangat cintakan negara dan tidak hanya mengharapkan ganjaran semata-mata. 

Latihan pusat juga tidak seharusnya tertumpu kepada soal kecergasan, taktikal dan skil semata-mata tetapi disulami dengan program yang boleh meningkatkan fokus, komitmen dan motivasi pemain. Dengan semangat dan jati diri yang mantap, pemain bola sepak Malaysia akan lebih popular kerana kehebatan di atas padang, bukannya hebat kerana gaya rambut, digosip dengan artis atau masalah peribadi. 

• FAM perlu mengambil pendekatan mendidik pemain negara supaya menjadi ahli sukan yang lebih sempurna. Seseorang pemain yang mempunyai bakat belum tentu akan bertahan lama jika tidak tahu mengurus diri sendiri. Oleh itu, pemain perlu didedah dan dididik dengan aspek pemakanan sebagai ahli sukan, pengukuhan disiplin diri, penjagaan kesihatan, latihan kendiri, motivasi diri, kesedaran terhadap masa depan dan sebagainya. Semua ini boleh menjamin pemain untuk kekal lebih lama dari segi prestasi seperti pemain pada zaman lampau.

• FAM perlu menumpu perhatian terhadap aspek kejurulatihan. Sudah sampai masanya FAM menimbang untuk mengambil semula jurulatih dari luar negara. Namun, pemilihan jurulatih baru perlu dibuat dengan berhati-hati supaya jurulatih yang diambil jauh lebih baik daripada Alan Harris atau Bertalan Biskei. 

Kita tidak mahu seorang jurulatih yang apabila kalah mula mencari kesalahan orang lain. Di samping itu, FAM dan FA negeri perlu mengadakan program pemantapan jurulatih secara berkala untuk memastikan jurulatih tempatan mempelajari ilmu baru. 

Wujudkan Projek Piala Dunia FIFA 2014 di Brazil. Jika semua pihak dapat memainkan peranan yang berkesan dan tidak hanya pandai menuding jari mencari kesilapan, tidak mustahil pasukan Malaysia akan beraksi di pentas pusingan akhir Piala Dunia FIFA suatu hari nanti. 

• FAM patut melaksanakan penanda aras untuk mengenal pasti kejayaan kepada sesebuah pasukan bola sepak. Ia boleh dilaksanakan dengan memilih sebuah pasukan bola sepak kebangsaan di Asia seperti Jepun atau Korea Selatan yang bertanding dalam pusingan akhir Piala Dunia FIFA. Kaji faktor yang membawa kejayaan kepada pasukan bola sepak negara berkenaan. 

0 Komen Anda: