IMPIAN Lee Chong Wei untuk bergelar pemain negara pertama mengungguli perseorangan lelaki Siri Super Terbuka Korea Selatan tidak kesampaian apabila kecundang pada saingan final, semalam.
Kegagalan untuk merangkul dua gelaran berturut-turut itu - selepas kejayaan Terbuka Malaysia minggu lalu - terjelma angkara kekalahan kepada jaguh veteran Denmark, Peter Gade menerusi pertentangan sengit tiga set, 18-21, 21-10, 17-21.
Namun, ia jelas tidak menerbitkan bimbang Chong Wei yang meluahkan rasa puas hati kerana berjaya melakarkan pencapaian terbaik selepas dua kali tersekat pada suku akhir sebelumnya.
"Saya terima kekalahan ini. Lagipun, Peter bermain dengan amat bagus. Dia tidak memberi ruang yang banyak untuk saya menyerang. Permainannya di jaring juga baik.
"Secara keseluruhannya, saya puas hati kerana inilah pencapaian terbaik pada Terbuka Korea. Ini juga harus jadi persiapan terbaik saya sebelum Seluruh England nanti," katanya ketika dihubungi, semalam.
Chong Wei juga punya alasan untuk tambah bergembira selepas diumumkan sebagai penerima anugerah Fairplay buat kejohanan kali ini.
Apa yang jelas, Gade - lawan yang ditewaskan dalam separuh akhir Terbuka Malaysia - beruntung selepas mendapat kemenangan percuma pada separuh akhir dan memanfaatkan kelebihan itu dalam pertarungan selama 53 minit itu.
Kedua-duanya bersaing sengit pada set pertama sebelum Gade menang 21-18 dan Chong Wei tampak seolah sudah menjumpai sentuhan terbaik apabila menenggelamkan lawan dari Denmark itu dalam laluan menang set kedua 21-10.
Tetapi permainan kemas serta faktor lebih cergas membantu Gade untuk menyerap asakan Chong Wei dan akhirnya menang 21-17 pada set penentuan.
Tine Rasmussen berjaya mengungguli dua gelaran berturut-turut apabila menang perseorangan wanita mengatasi Pi Hongyan 21-19, 21-19 ketika Mathias Boe-Carsten Mogensen muncul juara beregu lelaki selepas mengatasi gandingan tuan rumah, Jung Jae Sung-Lee Young Dae 21-12, 24-22.
0 Komen Anda:
Catat Ulasan