CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Sabtu, 22 Ogos 2009

Revolusi bola Sepak & Patriotisme yang Hilang?

Zulhabri Supian

OGOS 21 – Dalam sedar tidak sedar, musim baru Liga Perdana Inggeris (EPL) sudah bermula dengan aksi tirai Piala Sumbangsih yang dimenangi Chelsea disusuli aksi pertama liga minggu lepas. Pastinya aku sendiri pun seperti tidak percaya musim baru EPL dan juga liga-liga bola sepak utama Eropah sudah bermula. Kesibukan bekerja dan aktiviti-aktiviti lain membuatkan masa berlalu terlalu pantas.

Bercerita tentang sukan nombor satu di Malaysia ini tetapi yang tercorot dari segi prestasi pasti akan menimbulkan banyak persoalan lantas diskusi panjang yang sering bernada kecewa jika menyentuh situasi kritikal bola sepak di Malaysia.

Aku mula bermain bola sepak ketika berumur 6 tahun di sebuah padang di Pasir Gudang, dan mulai aktif mengikuti perkembangan sukan bola sepak tempatan sejak darjah 2 atau lebih tepat pada tahun 1989 setelah bersekolah di Pekan Kapar Selangor. Menetap di negeri kuasa bola sepak tempatan yang penuh dengan tradisi merupakan satu perkara yang sangat bagus berlaku di dalam hidup berbanding jika aku terus menetap di Johor.

Aku masih terbayang kemeriahan malam minggu di mana perlawanan liga Semi-Pro yang mula diperkenalkan pada tahun 1989 sering diadakan. Konvoi beramai-ramai penyokong dengan kereta dan van sambil mengibarkan bendera Selangor akan disambut dengan terpukan dan teriakan setiap kali melewati orang ramai. Kawasan perumahan aku juga sering membuat rombongan dengan bas disediakan percuma oleh towkay bas sekolah yang sangat bersemangat tinggi. Tatkala itu Sabtu malam minggu pastinya ditunggu-tunggu oleh warga Selangor untuk ke Stadium Merdeka, sebelum wujudnya Stadium Shah Alam.

Akhbar-akhbar dan media elektronik akan membuat ulasan panjang lebar sebelum perlawanan dan selepas perlawanan, lengkap dengan skor mata prestasi setiap pemain dan grafik gol-gol pilihan. Senarai penjaring gol baik untuk bahagian satu dan bahagian dua akan menjadi buah bicara aku dan teman-teman di sekolah seterusnya akan ada pemain yang menjadi idola kami seperti Fandi Ahmad, Subadron Aziz, Radhi Mat Din, Zainal Nordin, Matlan Marjan, Mohd. Nidzam Adzha, Azizol Abu Hanifah, Mubin Mokhtar,Ariffin Osman, Norazam Ishak, Khalid Shahdan, Zaidi Nafiah dan pastinya Zainal Abidin Hassan dan Dollah Salleh.

Kemeriahan aksi bola sepak tempatan ini sering melimpah ke peringkat kampung atau taman di mana aksi-aksi persahabatan di antara kampung atau taman berdekatan sering diadakan. Aku sendiri pernah mengepalai pasukan yang aku namakan TNB Kapar dan mengatur perlawanan-perlawanan di hujung minggu jika tiada aksi pasukan Selangor di KL minggu itu. Walau sering diakhiri dengan rasa tidak puas hati dan kadang kala pergaduhan jika keputusan tidak memihak atau sebagainya, sukan bola sepak jelas dekat dan melekat kuat di dalam jiwa kami pada waktu itu.

Pada waktu itu tidak ramai yang mengikuti liga bola sepak luar negara apatah lagi Liga Inggeris yang hampir minimal pengikutnya. Mengikut ingatan aku, Liga Itali lebih popular pada waktu itu di mana setiap hari Sabtu jam 4 petang pasti ditunggu-tunggu kerana liputan sejam aksi liga akan ditayangkan. Bertambah popular lagi Liga Itali apabila Diego Maradona beraksi bersama kelab Napoli.

Aku juga masih mengingati aksi Piala Caltex tahun 1991 yang dikatakan acara tahunan berlokasi di negeri jiran, Singapura melibatkan dua pasukan hebat, Arsenal dan Liverpool dan menariknya hampir tiada yang memperkatakannya. Aksi tahun kedua itu dimenangi Arsenal menerusi sepakan penalti seterusnya mempertahankan piala yang dimenangi tahun sebelumnya. Kunjungan pasukan Aston Villa tahun itu juga menentang Kuala Lumpur, Sarawak dan Pilihan Malaysia juga tidak mendapat sambutan walaupun Villa diwakili David Platt yang sangat digeruni ketika itu. Cuma beberapa aksi yang melibatkan pasukan negara akan mendapat sambutan hebat seperti aksi menentang skuad England pada tahun 1991 yang sering dikenang kerana dua gol cantik dari Matlan Marjan menewaskan Chris Woods dan aksi menentang Everton yang dikenang kerana kehebatan penjaga gol Malaysia, Rashid Hassan pada tahun 1989 jika tidak silap.

Tahun 1989 juga cukup manis apabila pasukan negara memenangi pingat emas Sukan Sea ke 15 yang berlangsung di Kuala Lumpur. Malangnya sejak itu jugalah pasukan negara gagal mengulangi kejayaan yang sama sehingga sekarang. Peliknya wacana pada waktu itu terutama oleh kolumnis sukan yang aku gemari, Prof. Khoo Kay Kim di akhbar Berita Harian tidaklah positif terhadap pencapaian pasukan negara kerana perbandingan sering dibuat dengan prestasi tahun 70an dan awal 80an. Bayangkan pula bagaimana kita hendak berwacana tentang situasi pasukan bola sepak negara sekarang?

Dua puluh tahun ke hadapan banyak yang sudah berubah. Padang bola sepak semakin berkurangan, stesen satelit Astro yang penuh dengan aksi bola sepak luar negara mendominasi, media seperti menganaktiri aksi bola sepak tempatan, masyarakat sudah banyak pilihan gaya hidup di hujung minggu, polarisasi kaum semakin kuat di dalam bola sepak dan politik FAM dan persatuan negeri yang negatif tidak pernah selesai.

Kalau dulu ramai bermain bola tepuk yang menggunakan kad manila di dalam rumah atau di meja sekolah berjersikan pemain tempatan. Sekarang semuanya pemain luar negara itupun jika masih dimainkan permainan ini kerana pastinya permainan video Winning Eleven dan FIFA 09 sudah mengambil alih peranan.

Pastinya aku sedih dan hampa dengan suasana ini dan lebih hiba tatkala melihat tingkah laku ekstremis bola sepak luar negara yang sanggup bergadai masa dan tenaga untuk menonton aksi membabitkan pasukan kegemaran mereka, baik Arsenal, Liverpool, Manchester United, Real Madrid dan lain-lain tetapi tidak mengendahkan langsung aksi bola sepak tempatan dan perkembangan pasukan negara.

Memang bukan salah mereka 100 peratus untuk membuang duit menonton Manchester United di Bukit Jalil dan mengherdik dan lagi teruk memaki hamun pemain negara. Kita akui prestasi permainan yang ditunjukkan tidak menarik untuk memikat orang ramai ke stadium Tetapi amat salah menjadi peminat bola sepak yang hanya tahu mencari salah tetapi tidak menyumbang apa-apa dari segi idea dan bentuk tindakan. Lebih malang lagi ada yang tidak mengenali pemain kebangsaan tetapi mengkritik dan memaki tanpa mengambil tahu konteks.Memaki hamun seperti yang sering dihambur oleh ekstremis parti-parti politik memang kerja mudah, tetapi untuk membuat perubahan dan bekerja ke arah itu merupakan satu tugas yang mencabar dan harus dipikul seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kelab, baik Manchester United, Chelsea dan lain-lain.

Bola sepak tempatan masih bernyawa seperti aksi yang dipamerkan ketika aksi persahabatan menentang MU tempoh hari dan sokongan yang diberikan terhadap pasukan negeri ketika perlawanan-perlawanan besar. Nyawa ini sangat bergantung kepada rakyat Malaysia kerana sepertinya nyawa utama yang dimiliki FAM seperti sudah di hujung tanduk. Nyawa ketiga milik pemain yang dahagakan kebajikan yang sering diabai dan sering pula diperlekah pengorbanan mereka oleh rakyat Malaysia kerana mungkin kelemahan pencapaian akademik mereka.

Hanya ada dua jalan iaitu sama ada FAM berubah dengan drastik baik di sudut kepimpinan dan program atau akan ada revolusi bola sepak jika kegagalan demi kegagalan dibiarkan berterusan tanpa rasa bersalah.

Oleh: Zulhabri Supian

0 Komen Anda: