Bagi pihak Kelab Famemas Kuala Lumpur dan Selangor (1555-07-WKL), atau lebih dikenali sebagai Kelab Penyokong Sukan Malaysia serta jutaan peminat dan penyokong Sukan Malaysia meminta keperihatinan ASTRO TV (MEASAT Broadcast Network Systems Sdn Bhd) dan YB Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan untuk menimbang dan mengkaji semula peningkatan harga sebanyak RM12.00 oleh ASTRO untuk pakej sukannya yang dikenakan kepada pelanggannya.
Adalah dirasakan peningkatan harga sebanyak RM12.00 untuk langganan pakej Sukan ASTRO adalah amat membebankan rakyat dalam keadaan eknonomi yang tidak menentu sekarang. Pelanggan Astro sekarang dijangkakan sebanyak 3 juta isi rumah dan pelanggan pakej Sukannya dianggarkan 70% daripada itu, iaitu hampir 2.1 juta isi rumah. Bayangkan peningkatan RM12.00 untuk seisi rumah akan melibatkan kemasukan tunai kepada ASTRO sebanyak RM25.2 juta.
Sukan sebagai penyatu rakyat Malaysia yang satu-satunya contoh 1 Malaysia secara praktis tidak sepatutnya dijadikan komoditi oleh sesetengah pihak untuk kepentingan sendiri.
Alasan yang diberikan ASTRO yang mengatakan peningkatan kos mendapatkan hak penyiaran bagi sesuatu sukan tidak dapat diterima sama sekali kerana ASTRO telah mencapai skala ekonomi atau “economies of scale” dan mempunyai banyak pilihan untuk mengawal kos operasinya seperti mengugurkan siaran sukan yang kurang popular atau tidak diminati rakyat Malaysia. Sudah tentu ASTRO yang telah lama bersiaran di Malaysia mengetahui siaran sukan yang popular yang dikehendaki oleh rakyat dan peminat sukan Malaysia. Sukan lain yang kurang sambutan bolehlah dihentikan dan ditambah dengan sukan yang betul-betul mendapat sambutan siaran yang tinggi.
Pihak ASTRO dengan kepimpinan tingginya yang berkemampuan dan karismatik sudah tentu mempunyai kebolehan untuk mengelakkan kesengsaraan dipihak pelanggannya dengan cara berkesan yang lain seperti meningkatkan efisiensi operasi, pengurangan kos dan lain-lain. Malahan peluang Astro untuk terus meningkatkan penguasaan pasarannya masih terbuka luas yang tidak seharusnya menjurus kepada peningkatan harga pakej sukannya yang seterusnya membebankan pelanggan mereka sendiri.
Dengan itu, kami bagi pihak Peminat dan Penyokong Malaysia dari berbilang bangsa dan latarbelakang yang berdiri dibawah naungan dan laungan 1Malaysia memohon keperihatanan ASTRO TV dan YB Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan untuk mengkaji tindakan ASTRO menaikkan harga pakej Sukan ASTRO secara melulu dan memohon agar tindakan ini ditarik balik dengan kuasa yang diuntukkan kepada YB Menteri dan Kementerian yang telah diberikan mandat oleh rakyat Malaysia.
Bagi pihak Kelab Famemas KL & Selangor (1555-07-WKL)
KELAB PENYOKONG SUKAN MALAYSIA
Lee Hui Seng
Pengerusi
0 Komen Anda:
Catat Ulasan