40 Anak Yatim Jayakan Klinik Famemas
(Berita Harian 14hb Oktober 2005)
Mereka bukan sahaja berperanan memberi semangat buat atlit yang bertanding di temasya utama seperti Sukan Olimpik, Sukan Asia dan sukan Sea, namum kumpulan penyokong sukan negara (Famemas) turut memberi ilmu buat mereka yang memerlukan.
Sempena sambutan Ramadan Famemas turut mengambil berkat dengan mengadakan majlis berbuka puasa dan disusuli dengan klinik badminton untuk anak-anak yatim dari rumah Joy dan Charis. Anak Yatim seramai 40 orang berusia bawah 12 tahun itu mendapat tunjuk ajar daripada bekas pemain kebangsaan, Jason Wong.
Jason yang kini ketua jurulatih pengbangunan badminton Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) semasa menjadi pemain sering memasuki suku akhir dan separuh akhir dalam sirkit kebangsaan dan pencapaian terbaiknya memenangi pingat perak pada kejohanan badminton Piala Asia 1999.
Bekas pemain itu memberi sumbangan menerusi kejurulatihan bersama Famemas sejak tiga tahun lalu dan klinik yang diadakan minggu lalu berlangsung selama satu jam bermula 8.30 malam dan berakhir 9.30 malam dimulakan dengan taklimat dan seterusnya cara bermain badminton. Selain memberi tunjuk ajar kepada kanak-kanak berkenaan, Jason turut memerhati bakat terpendam antara mereka dan peserta terpilih menerima hadiah sebuah reket.
Pengurus Besar Korporat dan Penjenamaan Samsung Malaysia, Jimmy Tan berkata klinik berkenaan adalah kali ketiga dianjurkan dengan memilih rumah anak yatim berbeza dan lokasi berlainan.
"Inilah peluang buat kanak-kanak ini menimba sedikit ilmu dan mungkin dapat mencungkil bakat terpendam dikalangan mereka". "Menerusi penganjuran majlis ini juga ahli Famemas dapat berkumpul dan seterusnya mengeratkan lagi hubungan persahabatan antara mereka" katanya.
Penganjuran klinik badminton itu juga diharap dapat menjadi landasan buat rakyat Malaysia untuk sama menyokong dan menjadi ahli kelab Famemas dan ia diadakan bersempena dengan Sukan SEA Manila bulan depan.
0 Komen Anda:
Catat Ulasan