KUALA LUMPUR, 8 Jun Skuad negara bawah 23 tahun akhirnya mencatatkan kemenangan sulung daripada tiga perlawanan persahabatan apabila menewaskan kelab Shanghai Zhong Bang FC 2-1 hari ini.
Pada perlawanan itu, Malaysia menjaringkan gol menerusi pemain tengah Mahalli Jasuli dan penyerang Farderin Kadir untuk menewaskan kelab Liga A China itu.
Skuad bimbingan K.Rajagobal yang berada di China sejak awal bulan ini tewas pada dua perlawanan sebelum ini iaitu 2-3 di tangan kelab Nan Chang 81 FC dan 1-4 dengan kelab Liga Super China, Shanghai Shenhua FC.
Skuad negara dijangka kembali Rabu ini dan bakal beraksi pada satu lagi perlawanan persahabatan menentang skuad bawah 23 tahun Indonesia Sabtu ini di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Perlawanan persahabatan tersebut diadakan berikutan pembatalan Kejohanan Piala Antara Benua di sini dari 1 hingga 14 Jun ini akibat penularan wabak influenza A (H1N1).
Ia juga merupakan antara persediaan bagi Rajagobal untuk menilai pemain sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA di Laos Disember ini.
0 Komen Anda:
Catat Ulasan