CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Selasa, 9 Jun 2009

Malaysia Tewas 2-0 Ke Atas Korea Selatan


JOHOR BAHARU, 8 Jun Laluan Malaysia ke suku akhir tampak sukar selepas tewas 2-0 kepada Korea Selatan pada perlawanan Kumpulan C Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja di Stadium Hoki Taman Daya, di sini, Isnin.

Kegarangan Korea Selatan terserlah apabila mula mengancam kubu skuad negara dan hasilnya seawal minit kelima berpunca dari pukulan sudut penalti Kang Moon Kyu yang bijak mencari ruang untuk melakukan tolakan kencang ke arah pintu gawang.

Malah kemenangan 7-0 Korea Selatan ke atas Amerika Syarikat semalam, bagaikan petanda awal untuk menunjukkan taring selaku pencabar utama kejuaraan itu apabila kerap menguasai perlawanan sehingga sukar buat barisan skuad K. Rajan untuk cuba menyusup masuk ke kawasan D pasukan bimbingan Kim Yong Ji.

Pelawat hampir menambah jaringan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-15 dan 16, bagaimanapun penjaga gol tuan rumah Abdul Hakmi Adnan bertindak cemerlang untuk menepis percubaan berbahaya itu.

Peluang terbaik untuk skuad negara menyamakan jaringan hadir pada minit ke-23 menerusi pukulan sudut penalti namun barisan pertahanan Korea Selatan pantas menyekat tolakan pemain negara untuk mengelak dari gol mereka dibolosi.

Asakan bertali arus skuad negara hampir berjaya memperolehi jaringan pada minit ke-32 hasil pukulan kencang di dalam kawasan D oleh pemain Mohamad Shafiq Mohamed Zain namun sedikit tersasar.

Babak kedua perlawananan, pasukan Korea Selatan berjaya memperolehi pukulan sudut penalti pada minit ke-47 apabila ketua pasukan Lee Dong Hyun dikasari oleh pemain pertahanan Malaysia namun Abdul Hakmi menjadi wira apabila sekali lagi berjaya menyelamatkan gawang.

Semangat melawan skuad negara tersentak apabila Korea Selatan yang mendapat pukulan sudut penalti pada minit ke-55 tidak mensia-siakan tolakan oleh Jeong Yun Sang yang sekali lagi terkena pemain negara untuk meletak kedudukan pelawat selesa mendahului 2-0.

Pasukan negara berehat esok sebelum turun menetang Amerika Syarikat, Rabu ini.

Sementara itu, Rajan yang ditemui pemberita menyifatkan kekalahan itu berpunca dari tindakan Korea Selatan yang bijak menggunakan strategi pukulan sudut penalti.

Terdahulu, dalam satu lagi perlawanan kumpulan C, Pakistan berjaya menewaskan Mesir 3-0 manakala dalam saingan kumpulan A, Sepanyol membenam Amerika Syarikat 9-0 dan Argentina menewaskan Russia 9-3.

Di Stadium Sengkang, Singapura, bagi saingan kumpulan B, Poland menundukkan Belanda 7-2 manakala Chile menumpaskan Australia 4-0.

Pada perlawanan kumpulan D, Jerman menewaskan Afrika Selatan 4-0 manakala India menewaskan Singapura 10-0.

0 Komen Anda: