Hadiah terbaik raikan bulan ke-35 di puncak ranking dunia
NICOL David melenyapkan angan-angan lawannya, Jenny Duncalf yang belum pernah menewaskannya sebelum ini apabila menang dua set terakhir untuk menjuarai gelaran ketiganya, Terbuka Seoul semalam.
Memasuki pertemuan ke-12 mereka, Nicol terlebih dulu memenangi set pertama 11-6 tetapi kedudukan terikat 1-1 apabila set kedua berpihak kepada pilihan keempat dari England itu dengan 11-3.
Namun Nicol tidak membiarkannya sedikit pun menjejaskan tumpuannya apabila meraih kejayaan dalam dua set seterusnya, 11-6, 11-4 bagi menamatkan pertembungan itu selepas 38 minit.
Nicol mara ke final selepas menundukkan musuh tradisi, Natalie Grinham, 11-4, 11-6, 11-8 dis eparuh akhir manakala Duncalf pula mengejutkan pilihan kedua, Rachael Grinham - kakak Natalie - 11-6, 11-8, 11-6.
Kejayaan semalam membolehkan Nicol, pemain kelahiran Pulau Pinang berusia 26 tahun itu, menambah kepada gelaran Terbuka Cayman dan Texas bulan lalu dengan juara dunia itu hanya merasai derita kekecewaan sekali saja tahun ini.
Kekalahan itu dirasainya ketika tewas pada final Terbuka Kuala Lumpur kepada Natalie Grainger yang tidak beraksi di Seoul.
Kemenangan semalam juga adalah hadiah terbaik buat Nicol yang meraikan bulan ke-35 di puncak ranking dunia pada Jun ini.
0 Komen Anda:
Catat Ulasan