CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Jumaat, 8 Mei 2009

Wajah pemain kita positif: Rexy

Ahmad Shabery mengucapakan selamat berjuang kepada pasukan badminton negara di KLIA sebelum berlepas ke Guangzhou, semalam.

Jurulatih negara percaya sasaran ke separuh akhir Piala Sudirman satu realiti

SKUAD badminton ditagih menjelmakan semangat tambahan untuk menghancurkan benteng lawan dalam usaha memastikan impian negara melangkah sekurang-kurangnya ke separuh akhir Kejuaraan Piala Sudirman di China, minggu ini terlaksana. 

Jurulatih beregu, Rexy Mainaky, menegaskan Malaysia yang diletakkan dalam kumpulan 1A bersama Denmark dan Korea Selatan, memerlukan semangat tambahan ketika kekuatan dua lawan kelihatan seimbang.

“Saingan dalam kumpulan ini menyaksikan setiap pasukan mempunyai kekuatan hampir seimbang dalam tiga acara iaitu perseorangan, beregu lelaki dan wanita. Jadi siapa yang terlebih dulu dapat memecahkan titik kekuatan itu, pasti memang,” katanya. 

Malaysia meletakkan sasaran untuk layak sekurang-kurangnya sehingga ke peringkat separuh akhir dan lawan pertamanya adalah Korea Selatan. Hong Kong disenaraikan bersama Malaysia manakala China, Indonesia, Jepun dan England diundi dalam Kumpulan IB. 

Rexy turut mengakui betapa beliau gembira dengan perubahan positif gandingan Koo Kien Keat- Tan Boon Heong membolehkannya memberikan lebih banyak tumpuan bagi melatih beregu wanita, Wong Pei TTy-Chin Eei Hui dan beregu campuran.

“Saya melihat mereka mempamerkan perubahan positif ketika latihan dan ia memberi kelegaan kepada saya,” katanya sambil enggan mendedahkan percaturan meskipun diasak pemberita mengenai laporan awal terhadap kemungkinan gandingan ini mahu dipecahkan. 

Dalam kejohanan yang bermula Ahad ini, skuad negara akan diketuai Lee Chong Wei serta dianggotai Koo Kien Keat, Tan Boon Heong, Fairuzizuan Tazari, Wong Mew Choo, Julia Wong Pei Xian, Wong Pei Tty, Chin Eei Hui dan Ng Hui Lin serta Tan Chung Seang. 

Ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Chong Wei menegaskan kerjasama berpasukan penting bagi memastikan kemenangan dalam kejohanan yang menggunakan format berpasukan ini. 

“Kita yakin mampu melangkah lebih jauh termasuk mencipta sejarah mendapatkan pingat andai semua atlit memberikan kerjasama yang mantap sebagai satu pasukan,” katanya.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek turut hadir di lapangan terbang bagi mengucapkan selamat berjuang untuk kontinjen negara.

0 Komen Anda: