CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Isnin, 11 Mei 2009

Langkah kiri di Guangzhou

Lee Chong Wei (kiri) dan Mew Choo.

LANGKAH mula gembira yang dicari, gagal dijelmakan apabila skuad negara tumbang 2-3 kepada Korea Selatan dalam pertembungan pembukaan Kumpulan 1A, Kejohanan Badminton Piala Sudirman di Gimnasium Guangzhou, semalam. 

Namun, ia belum menghapuskan harapan untuk melakar sejarah layak ke separuh akhir buat julung kalinya dengan kemenangan dalam baki dua perlawanan masih mampu menjamin kemaraan. 

Cuma barisan pemain beregu negara dituntut mempamer kebangkitan segera, selepas langsung gagal menyumbang mata dalam tiga pertarungan yang diharungi.

Ia bermula apabila gandingan Koo Kien Keat-Wong Pei Tty tumpas dalam pertarungan sengit tiga set menentang juara Olimpik, Lee Young Dae-Lee Hyo Jung, 22-24, 23-21, 15-21. 

Kapten pasukan, Lee Chong Wei, kembali menghidupkan cabaran apabila mengatasi Jang Young Soo 21-9, 21-13 sebelum Korea kembali berkelebihan apabila Jung Jae Sung-Young Dae menewaskan Kien Keat-Boon Heong 21-16, 21-16. 

Mew Choo mengikat kedudukan 2-2, selepas menang 21-10, 17-21, 21-17 ke atas Hwang Hye Youn tetapi ia sia-sia apabila Pei Tty-Chin Eei Hui tumpas 8-21, 15-21 kepada Lee Kyung Won-Hyo Jung.

Ketua jurulatih perseorangan, Rashid Sidek pula tidak kecewa kerana menyifatkan ia barisan terbaik dimiliki negara. 

“Memang ini yang terbaik mampu kita turunkan. Sejak awal lagi, memang kita berdepan laluan sukar acara beregu wanita. Saya bagaimanapun gembira kerana acara perseorangan berjaya memberi dua mata,” katanya. 

Rakan sejawatnya yang mengendalikan beregu, Rexy Mainaky, pula menegaskan bahawa keletihan dirasai Kien Keat kerana perlu beraksi dua acara dalam tempoh singkat menjejaskan cabaran beregu lelaki negara. 

“Dia memang terjejas. Susunan perlawanan amat hampir, jadi dia tidak dapat rehat cukup,” katanya.

0 Komen Anda: