Nicol David
TIADA istilah rehat buat pemain skuasy wanita nombor satu dunia, Nicol David yang akan turun menghadapi pertandingan keduanya dalam tempoh seminggu iaitu Terbuka Texas yang menawarkan AS$57,000 (RM209,190) esok, empat hari selepas merangkul gelaran pertamanya tahun ini di Terbuka Cayman.
Tanpa sebarang pertandingan hampir dua bulan, kalendar Nicol bulan ini dipenuhi dengan dua kejohanan berturut-turut dengan pemain kelahiran Pulau Pinang berusia 25 tahun itu juga akan sibuk dengan aktiviti promosi Hari Skuasy Sedunia pada 23 Mei ini.
Juara dunia itu akan turun dengan misi merangkul gelaran pertamanya di Texas - acara yang dinaikkan ke status emas Persatuan Pemain Skuasy Profesional Wanita (Wispa) tahun ini - dengan dirinya kali terakhir menyertai acara itu pada 2005.
Penampilan terakhirnya di situ sebelum ini menyaksikannya sekadar berbangga dengan pencapaian suku akhir apabila terpaksa akur kepada Vicky Botwright dari England dalam tiga permainan.
Nicol, yang menewaskan Natalie Grainger pada final di Kepulauan Cayman, Ahad lalu, untuk membalas dendam kekalahan kepada pemain nombor dua dunia itu pada Terbuka Kuala Lumpur, awal Mac lalu, dijangka mengulangi permusuhan dengan pemain Amerika Syarikat berkenaan pada final di Life Time Fitness di Plano, berdekatan Dallas.
Pilihan ketiga, Rachael Grinham, besar kemungkinan menjadi lawan Nicol di separuh akhir, memiliki insentif peribadi untuk menghalang kemaraan Nicol ke final, dengan ia akan menyamakan rekod 51 penampilan dalam final jelajah profesional buat pemain Australia itu.
Natalie yang menyaksikan rekod 19 perlawanan tanpa kalah diragut Nicol tempoh hari, perlu menundukkan Natalie Grinham, adik Rachael yang dijangka menjadi lawannya pada separuh akhir untuk mengulangi pertemuan ketiga berturut-turut dengan Nicol tahun ini.
0 Komen Anda:
Catat Ulasan