Foto Sekadar Hiasan
KEJADIAN rusuhan yang berlaku sebaik tamat perlawanan Piala FA separuh akhir pertama antara Kelantan dengan Negeri Sembilan di Kota Bharu malam kelmarin, mengecewakan peminat bola sepak di negara ini.
Tindakan liar sebahagian daripada 20,000 penyokong Kelantan menyebabkan lapan kereta rosak teruk termasuk sebuah kenderaan polis, manakala sebuah motosikal dibakar.
Kejadian itu barangkali tidak akan membawa kepada rusuhan penonton jika tiada pemain bertindak liar menyerang pemain lain.
Yang jelas, lunturnya semangat kesukanan di kalangan pemain dan peminat bola sepak pada perlawanan itu. Ada di kalangan pemain dan penonton hanya mengharapkan kemenangan pasukan pilihan mereka tanpa berfikir, bola yang dimainkan di atas padang boleh melantun ke mana saja berdasarkan kebijaksanaan seseorang yang memainkannya.
Menang dan kalah adalah adat dalam apa juga jenis pertandingan.
Kecuali seri, mana-mana pasukan yang bertanding perlu akur dengan apa juga keputusan pada akhir masa ditetapkan.
Pada waktu itulah mereka terbabit diuji dengan semangat muhibah dalam bersukan. Berjabat tangan pada akhir perlawanan diharap mampu meredakan rasa tidak puas hati pasukan yang kalah. Apa juga aksi liar tidak harus dijadikan provokasi bagi mengelakkan tercetusnya kejadian tidak diingini.
Kejadian malam itu jarang berlaku dalam perlawanan bola sepak sebelum ini.
Apakah pemain dan peminat bola sepak di Kelantan ingin menjadi jaguh dan menunjukkan 'gedebe' (samseng)?
Jika sikap samseng sebeginilah yang mereka tunjukkan kepada seluruh peminat sukan tanah air, sudah pasti sukan bola sepak tidak akan maju dan sukar melangkah ke arena lebih tinggi.
Oleh itu, diingatkan bahawa prestasi bola sepak negara sekarang ini pun bukanlah boleh dibanggakan. Sesekali permainan bola sepak kita berada pada tahap memalukan.
Menurut Fifa, mutakhir ini Malaysia berada pada ranking ke 160. Jauh sekali untuk berada pada kedudukan 30 atau 10 pasukan pilihan.
Justeru, jika begini mentaliti pemain dan peminat bola sepak di negara ini, tidak mustahil suatu hari nanti ranking bola sepak negara kita lebih teruk dan terus jatuh ke kedudukan ke 200!
Apa pun, semua pihak terutama FAM masih menyimpan impian besar dengan menyusun pelbagai strategi supaya sukan bola sepak kita beransur menuju ke tahap lebih baik, terutama di rantau Asia Tenggara.
Walaupun masih jauh untuk menjadi jaguh sehebat kuasa besar bola sepak dunia, cukuplah kalau bola sepak negara mampu membanggakan khalayak peminat bola sepak yang setia dengan sukan ini. Tinggi semangat bermain dan kukuh muhibah kesukanan.
Sikap fanatik yang ditunjukkan sehingga membakar van polis, kereta, motosikal dan mencederakan orang lain tidak sepatutnya berlaku dan tidak wajar dijelmakan di kalangan peminat sukan negara ini, yang tersohor dengan sifat sopan santun dan berhemah tinggi dalam banyak aspek kehidupan.
Budaya negatif yang dipaparkan pemain dan peminat bola sepak di negara asing tidak perlu ditiru dan cuba di-bawa ke negara kita.
Sukan bola sepak kita perlu terus dijulang dengan semangat 'Malaysia Boleh' bersandarkan asas budaya hidup yang penuh kesantunan, budi bahasa dan semangat kesukanan yang tinggi.
WAN MARZUKI WAN RAMLI,
Pasir Mas, Kelantan.
0 Komen Anda:
Catat Ulasan