CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Sabtu, 11 April 2009

Halim dakwa Zafuan cabar maruahnya; tak mahu maafkan

Halim Napi


"SAYA dihina dengan kata-kata kesat dan dia (Aidil Zafuan Abdul Radzak) turut membuat isyarat tangan berunsur penghinaan dan provokasi terhadap saya," kata Halim Napi, orang yang didakwa pencetus rusuhan penyokong Kelantan, Selasa lalu.

Bagi penjaga gol veteran berusia 37 tahun itu, perbuatan Aidil itu mencabar maruah dan harga dirinya, dan mendakwa tindakan pertahanan Negeri Sembilan itu turut disaksikan sebahagian penonton.

Malah, Halim yang tampil kali pertama untuk menjelaskan insiden itu, turut menegaskan dia tidak akan memohon maaf kepada Aidil atau memaafkan pemain itu atas apa yang berlaku.

Dalam insiden ketika perlawanan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Halim meluru ke arah Aidil dan menumbuk serta memijak pemin itu sebelum dileraikan pemain lain.

Halim berkata sebagai pemain muda, Aidil seharusnya menghormati pemain yang lebih senior daripadanya dan lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kata-kata yang boleh mencetuskan ketegangan.

“Saya harap selepas ini, dia menunjukkan sikap hormat bukan saja kepada pemain senior, tetapi juga terhadap pemain lain walaupun dia seorang pemain kebangsaan. Saya juga pernah bermain untuk skuad kebangsaan," katanya yang ditemui di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, semalam.

Menceritakan apa yang berlaku sehingga tercetusnya insiden berkenaan, Halim berkata, ia berpunca ekoran pelanggaran antaranya dengan penyerang lawan yang juga kembar Aidil Zafuan, Zaquan Adha ketika perlawanan menghampiri penghujung aksi.

"Dalam situasi perebutan bola 50-50 itu, kami secara tidak sengaja berlaga sesama sendiri, tetapi Aidil pula yang masuk campur sebelum bertindak mengeluarkan kata-kata kesat kepada saya," katanya yang pernah beraksi bersama Perak, Negeri Sembilan dan Melaka sepanjang lebih 15 tahun kariernya.

Mengenai dakwaan yang mengaitkannya sebagai punca berlakunya rusuhan sekumpulan penyokong Kelantan di luar stadium, Halim berkata, apa yang berlaku di dalam padang dan di luar stadium itu adalah dua isu berbeza yang tiada kena mengena dengannya.

Dia juga enggan mengulas mengenai penggantungan yang dikenakan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) terhadapnya kerana mahu menenangkan fikiran dan menunggu keputusan Jawatankuasa Disiplin berhubung hukuman yang bakal diterimanya.

0 Komen Anda: