CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Rabu, 18 Februari 2009

Malaysia Sasar Emas Untuk Badminton di Olimpik London

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akhirnya menetapkan sasaran untuk mencapai satu pingat emas daripada tiga acara sama ada dari badminton, memanah atau berbasikal pada Olimpik London 2012.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sasaran tersebut dibuat berdasarkan penilaian Jawatankuasa Pemandu Kontinjen Olimpik 2012 Majlis Sukan Negara (MSN) yang bermesyuarat baru-baru ini.

"Jawatankuasa ini berpendapat Malaysia perlu fokus kepada ketiga-tiga sukan ini untuk memastikan matlamat meraih emas pertama negara di Olimpik tercapai," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program 'Road To London 2012' di sini, Isnin.

KBS sebelum ini tidak meletakkan sasaran emas untuk dimenangi atlet negara tetapi sekadar sebarang pingat di London nanti.

Bagi sukan lain, pencapaian dalam satu atau dua tahun ini akan dijadikan kayu ukur, katanya.

"Ia semua bergantung kepada prestasi semasa atlet lain. Mungkin kalau ada sukan lain yang ada potensi untuk dapat emas, kita akan senaraikan dalam program Road To London 2012," kata Ismail Sabri.

Katanya buat masa sekarang, pihaknya cuma meletakkan sukan lain dalam kelas Sukan SEA, Sukan Asia dan Sukan Komanwel untuk diberi peruntukan menyertai sesuatu kejohanan.

"Kita tetap akan hantar atlet lain yang layak, cuma peruntukan mereka kita kurangkan," katanya.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas mengenai jumlah peruntukan yang disediakan kementerian itu.

Katanya maklumat akhir mengenai peruntukan akan diumumkan selepas MSN selesai meneliti draf cadangan daripada persatuan sukan terbabit tidak lama lagi.

Sebanyak 17 orang atlet elit terpilih menyertai progam persediaan Road To London 2012, antaranya pemain nombor satu badminton dunia Datuk Lee Chong Wei, pelumba berbasikal kategori keirin, Mohd Azizulhasni Awang dan atlet memanah Cheng Chu Sian.

Bagaimanapun kata Ismail, senarai atlet tersebut bukan muktamad sebaliknya bergantung kepada pertimbangan persatuan sukan terbabit untuk mengemaskinikan senarai terbaru atlet mereka yang layak untuk dimasukkan dalam program tersebut.

-- BERNAMA

0 Komen Anda: