CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Rabu, 18 Februari 2009

Chong Wei Hadapi Laluan Getir Di Peringkat Suku Akhir

Lee Chong Wei

KUALA LUMPUR, Pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei mendapat laluan mudah pada pusingan pertama dan kedua pada Kejohanan Badminton All England di Birmingham bulan depan.

Dalam undian rasmi oleh Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) hari ini, Chong Wei, yang diletakkan sebagai pilihan utama, dijangka mudah melepasi pemain bukan pilihan dari China Lu Yi pada perlawanan pembukaan.

Pemain berusia 25 tahun itu bakal menentang pemain Thailand Boonsak Ponsana atau Marc Zwiebler dari Jerman pada pusingan kedua pada kejohanan yang bermula 3 hingga 8 Mac ini.

Bagaimanapun, halangan utama Chong Wei menanti pada peringkat suku akhir apabila dijangka menemui pemain nombor lima dunia, Sony Dwi Kuncoro dari Indonesia.

Chong Wei, yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik Beijing 2008, sekadar ke separuh akhir pada kejohanan itu tahun lepas setelah tewas kepada pemain China Chen Jin 18-21, 18-21.

Chen Jin kemudian muncul juara dengan menewaskan rakan senegara Lin Dan 22-20.

Tiga lagi pemain negara akan menggalas cabaran pada kejohanan berprestij itu iaitu pemain veteran Wong Choong Hann yang akan membuka gelanggang dengan pemain Denmark Jan O Jorgensen.

Pemain nombor 25 dunia Sairul Amar Ayob akan menentang pemain Hong Kong Ng Wei manakala Lee Tsuen Seng akan bertemu dengan pemain Jepun Sho Sasaki.

Chen Jin, yang juga pemain nombor tiga dunia akan mempertahankan kejuaraan sebagai pemain pilihan ketiga manakala Lin Dan, pemenang pingat emas Sukan Olimpik Beijing 2008 diletakkan sebagai pilihan kedua.

Sementara itu, bekas juara beregu lelaki Kejohanan All England 2007, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, yang diletakkan sebagai pilihan ketiga kali ini akan menentang beregu tuan rumah Richard Eidestedt-Andrew Ellis pada pusingan pertama.

Beregu Mohd Zakry Abdul Latif-Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari, yang diletakkan sebagai pilihan keempat akan bertemu dengan gandingan dari Indonesia Yonathan Suryatama Dasuki-Rian Sukmawan manakala beregu ketiga negara Gan Teik Chai-Tan Bin Shen akan menentang beregu Joko Riyadi-Candra Wijaya dari Indonesia.

Dalam acara perseorangan wanita, pemain tunggal negara Julia Wong Pei Xian akan membuka langkah sebagai pemain nombor 16 dunia dengan menentang pemain Belanda Ella Diehl.

Dalam acara beregu wanita, beregu negara Chin Wei Hui-Wong Pei Tty, yang juga beregu pilihan kedua, akan memulakan saingan dengan bertemu beregu dari pusingan kelayakan.

Dalam pada itu, dua beregu pelapis negara, Haw Chiou Hwee-Lim Pek Siah serta Goh Liu Ying-Ng Hui Lin akan beraksi pada pusingan kelayakan.

-- BERNAMA

0 Komen Anda: