KELAB penyokong Malaysia, Famemas tidak akan menghantar ahli untuk memberi sokongan dan dorongan kepada atlet negara yang beraksi di Sukan Komanwel edisi ke-19 di New Delhi, India dari 3 hingga 14 Oktober ini.
Presiden, Lee Hui Seng berkata, salah satu faktor yang menyebabkan mereka mengambil keputusan itu adalah kebimbangan tahap keselamatan di negara itu.
“Kita tidak tahu sejauh mana tahap keselamatan disediakan penganjur kepada para penyokong malah laporan situasi semasa negara itu yang siar media turut mencetuskan kebimbangan,” katanya.
Hui Seng menambah beberapa faktor lain turut mempengaruhi keputusan mereka seperti kos yang tinggi, keadaan kesihatan serta peluang untuk memenangi pingat emas adalah rendah di Sukan Komanwel berbanding Sukan Asia.
Isu keselamatan menjadi kebimbangan sebelum ini, malah pihak Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di India turut dilapor menasihatkan ibu bapa yang ingin menyaksikan anak-anak beraksi pada temasya itu mempertimbangkan kembali hasrat itu.
Terbaru pada Julai lalu, satu kumpulan puak pemisah Sikh dikenali Khalistan Liberation Force (KLF) didakwa mungkin menimbulkan kekacauan di New Delhi semasa temasya berlangsung.
Famemas sebaliknya menurut Hui Seng akan merancang menghantar kira-kira 40 orang bagi memberi sokongan kepada kontinjen negara di Sukan Asia Guangzhou, China yang berlangsung sebulan selepas itu, iaitu dari 12 hingga 27 November.
“Kita melihat potensi memenangi pingat dalam beberapa acara lebih cerah serta saingannya lebih tinggi dengan adanya kontinjen dari China, Jepun dan Korea Selatan.
“Kita menjangkakan perbelanjaan RM3,500 sepanjang berada di Guangzhou selama lapan hari bermula 20 November,” tambahnya yang turut mengalu-alukan rakyat Malaysia yang ingin memberi sokongan kepada atlet negara menyertai Famemas bagi memberi semangat kepada kontinjen negara.
Malaysia menghantar 203 atlet dan 99 pegawai untuk menyertai 14 jenis sukan di Sukan Komanwel manakala Sukan Asia yang diketuai oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Zolkples Embong membabitkan 298 atlet di dalam kategori A dan B untuk menyertai 31 daripada 42 acara yang dipertandingkan.
Famemas yang mempunyai kira-kira 500 orang ahli sebelum ini menjadi penyokong tetap kontinjen negara yang beraksi di dalam dan luar negara seperti Sukan Asia 2002 di Busan, Korea Selatan serta beberapa edisi Sukan SEA bermula di Vietnam (2003), Filipina (2005), Thailand (2007) dan Laos pada tahun lalu.
0 Komen Anda:
Catat Ulasan