CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Khamis, 20 Mei 2010

Peminat Mahu Bedah Siasat Menyeluruh Punca Malaysia Kalah Piala Thomas

KEJOHANAN Piala Thomas dan Uber edisi 2010 baru melabuhkan tirainya dan sekali lagi negara Tembok Besar China mengungguli Piala Thomas sementara Korea Selatan berjaya mencipta upset dengan menundukkan China bagi meraih Piala Uber.

Kita hanya mampu berpuas hati ke separuh akhir untuk pasukan Piala Thomas dan kumpulan lapan terbaik bagi Piala Uber. Adakah kejayaan yang kita capai ini sudah cukup membanggakan?.

Sebagai rakyat Malaysia, saya kecewa dengan aksi yang dipamerkan skuad Piala Thomas negara pada perlawanan separuh akhir itu. Saya antara ribuan penyokong yang membanjiri Stadium Putra Bukit Jalil bagi memberi sokongan dan semangat. Bermula dengan aksi lemah dan lambat panas dipamerkan Datuk Lee Chong Wei seolah-olah menyerah kalah sedari awal kepada Lin Dan dan kemudian diteruskan dengan aksi kurang bertenaga pasangan nombor satu dunia Koo Ken Keat-Tan Boon Heong.

Antara peminat pasukan badminton Malaysia yang memberi sokongan pada Kejohanan Piala Thomas tempoh hari.

Malam penuh duka bagi seluruh rakyat Malaysia bersambung apabila Wong Choon Han juga tumpas di tangan Chen Jin.

Kita melopong dengan keputusan 0-3 dan perlu menunggu dua tahun dalam mencatur rencana mengembalikan Piala Thomas ke tangan Malaysia. Namun jika di tanah air sendiri kita gagal, apatah lagi mahu membawa pulang Piala Thomas yang bakal berlangsung di negara luar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam nada tegas mengarahkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuat bedah siasat segera bagi mengenal pasti punca kekalahan skuad Piala Thomas dan Uber negara. Bedah siasat yang bakal dilakukan perlu menyeluruh dan tidak tertumpu hanya pada kelemahan pemain semata-mata.

Kita perlu mengenal pasti adakah persiapan skuad negara tidak cukup bagus sehingga tersungkur di gelanggang sendiri? Adakah kita kurang bersedia dari sudut mental yang nampaknya mungkin menjadi faktor utama kekalahan pasukan negara?

Pemain China seperti tidak terkesan dengan sokongan ribuan penyokong Malaysia kerana mereka mempunyai kekuatan mental yang tidak mampu diganggu-gugat dan mereka fokus dan bersungguh-sungguh dalam mencapai matlamat mereka.

Kepada pemain Malaysia, peluang kali ini sudah berkubur, namun anda masih punyai peluang akan datang dan jika tidak dimanfaatkan sepenuhnya, entah bila agaknya kita akan mampu membawa pulang semula Piala Thomas ke Malaysia.

HANIF MOHSEIN MOHD FAUZI,
Ampang,

0 Komen Anda: