CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Isnin, 9 November 2009

Penonton bola sepak usah taksub

MENONTON perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia malam kelmarin antara Kelantan dan Negeri Sembilan memberi satu kesimpulan bahawa nilai masyarakat atau penonton kita masih pada tahap membimbangkan. 

Jelasnya, stadium jadi sawah padi musim kering. Ketika saya masih muda dulu, jika bermain bola sepak di sawah kering bersama rakan-rakan, dan kebetulan ada petani di sawah sebelah membakar jerami, keadaannya menjadi seperti Stadium Bukit Jalil, Sabtu lalu. 

Kebetulan ketika saya menonton perlawanan akhir itu di kaca televisyen, tiga kawan anak saya (semuanya berasal dari Kelantan] bersama-sama menonton perlawanan itu. Kata salah seorang daripadanya, 'inilah masalahnya orang Kelantan'.

Saya hanya tersenyum mendengar rungutan itu. Senario yang berlaku di Stadium Nasional Bukit Jalil sering berlaku di stadium lain apabila pasukan Kelantan turun bermain. 

Persoalannya sekarang, barangkali ramai yang akan mempertikai sejauh mana keberkesanan kawalan di pintu masuk stadium sehingga barang yang tidak sepatutnya ada di dalam stadium bertaburan di padang dan ditambah pula dengan asap seperti jerami dibakar itu? 

Mengapakah penonton kita terlalu taksub dengan pasukan sendiri sehingga sanggup mengetepikan keselesaan dan keselamatan pemain, petugas sukan dan juga penonton lain yang datang menyaksikan perlawanan?

Mengapa pula penonton tidak boleh menerima hakikat kekalahan pasukan yang disokong kerana memang setiap pertandingan itu ada kalah menangnya? 

Inilah antara persoalan yang perlu ditangani yang mana ia berkait rapat dengan sikap dan minda peminat sukan di negara kita. 

Agak keterlaluan kita lihat jika pemain pun takut hendak mengambil tendangan sudut kerana sebelum menyepak ada objek mengejar di belakangnya. Malah, sering kita lihat botol itu dan ini sama-sama masuk bersama bola ke dalam kawasan permainan. 

Senario ini seolah-olah membayangkan kebanyakan penonton tidak dapat menerima hakikat keputusan pengadil, penjaga garisan, gerak-geri pemain lawan dan keputusan akhir permainan sedangkan keputusan mesti ada kalah menangnya di hujung permainan.

Semua ini dapat ditangani jika penonton kita mengubah sikap menjadi peminat yang datang hanya untuk menyokong pasukan mereka, memberi semangat dan menonton perlawanan yang bermutu hasil daripada nilai positif penonton, kemudian menerima apa-apa keputusan pun setelah memahami adat pertandingan yang ada kalah menangnya. 

M JASNI MAJED, 
Bukit Kapar, Selangor.

0 Komen Anda: