SERAMAI 20 ahli Kelab Famemas Kuala Lumpur & Selangor (Famemas) bakal 'berkampung' di Stadium Putra, Bukit Jalil dari hari pertama berlangsungnya kempen Piala Thomas dan Uber bulan depan.
Kelab penyokong tersebut akan memberi sokongan moral kepada barisan pemain negara pada kejohanan badminton berprestij itu yang akan berlangsung dari 9 hingga 15 Mei ini.
Famemas yang diiktiraf Majlis Olimpik Malaysia dan kini dianggotai 500 orang, terdiri daripada pelbagai latar belakang profesion, bangsa dan agama.
"Rakyat negara ini perlu memenuhi segenap ruang di stadium. Rakyat perlu berbangga kerana telah sekian lama Malaysia tidak menganjurkan Piala Thomas dan Uber," kata Pengerusi Famemas, Lee Hui Seng.
Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Piala Thomas dan Uber adalah pada tahun 2002.
Hui Seng berkata, ahli Famemas yang lain akan menyertai 20 ahli penyokong tetap di Stadium Putra apabila berkesempatan untuk memberi sokongan moral kepada pemain negara.
"Kami yang berkampung di stadium akan memakai baju 'Harimau' sambil membawa kain rentang, bendera Malaysia dan berkompang," katanya.
Beliau berkata, sokongan penyokong mampu meningkatkan semangat juang para pemain badminton negara untuk memenangi kembali Piala Thomas selepas kali terakhir memenanginya pada 1992 di Kuala Lumpur.
Famemas turut bersama kontinjen negara ke temasya Sukan SEA, bermula edisi di Vietnam (2003), Manila (2005), Korat (2007), Vientiane (2009) dan Sukan Asia di Busan, Korea Selatan (2002), Sukan Asia Doha, Qatar (2006) dan Sukan Olimpik di Athens (2004).
Kosmo
0 Komen Anda:
Catat Ulasan