CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Selasa, 11 Januari 2011

BAM perlu profesional tangani isu Misbun

KEMELUT peletakan jawatan jurulatih perseorangan badminton negara, Datuk Misbun Sidek mengejutkan banyak pihak terutama peminat badminton tanah air. Persatuan Badminton Malaysia (BAM) rasanya tidak terlalu terkejut kerana mereka mungkin sudah mengetahui perkara ini akan berlaku.

Pemain dan jurulatih adalah satu komponen dalam apa jua permainan. Oleh itu, pendekatan yang terbaik perlu dilakukan BAM kerana ia sebuah organisasi profesional. Dengan kumpulan pengurusan yang hebat tentu tindakan bagi mengatasi masalah peletakan jawatan ini juga hebat.

Dari segi sejarah, kita melihat pelbagai kerenah pentadbiran sukan di negara kita dengan kumpulan pengurusan bertindak mengikut apa yang mereka rasakan terbaik untuk ‘mereka’ dan akhirnya pemain dan mutu sukan terbabit akan ketinggalan di persada antarabangsa.

Sebagai seorang peminat dan pentadbir sukan yang pernah berkecimpung dalam pentadbiran sukan di peringkat negeri dan juga kebangsaan saya merayu kepada ‘mereka’ agar melihat kembali amanah yang diberikan kepada kita bagi mengurus sesuatu organisasi. Jika kita fahami dan menghayati visi dan misi organisasi, kita tidak akan ada agenda sendiri dalam melaksanakannya.

Pemain mempunyai tanggungjawab untuk menyediakan diri dengan kepakaran bagi menjadikan diri sebagai pemain berkompetensi tinggi bagi sesuatu permainan.

Persatuan mempunyai tanggungjawab bagi menyelaras agar pemain sentiasa bersedia dalam menghadapi pertandingan dengan menyediakan kemudahan termasuk jurulatih. Jurulatih bertanggungjawab menyediakan pelan tindakan agar setiap pemain mempunyai tahap pencapaian mengikut tahap pertandingan yang mereka akan mengambil bahagian.

Majlis Sukan Negara (MSN) bertanggungjawab memastikan setiap organisasi sukan mematuhi semua undang-undang dan peraturan yang ada agar ia dilaksanakan dengan sempurna.

PEMINAT SUKAN VETERAN,
Jitra, Kedah.

Isnin, 10 Januari 2011

Kemelut Misbun, BAM boleh diselesai

KEMELUT antara Datuk Misbun Sidek dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu diperhalusi supaya tidak mendatangkan kerugian kepada sukan terulung negara.

Misbun adalah seorang jurulatih yang berjaya melatih seorang juara badminton yang digeruni di dunia, Datuk Lee Chong Wei.

Adakah kerana Chong Wei gagal menyaingi Lin Dan di Sukan Asia dan Olimpik maka tugas Misbun dianggap tidak berkesan. Kita perlu memahami pengorbanan masing-masing sebelum mendengar suara hati beliau yang paling dalam.

Beliau seorang jurulatih lahir daripada keluarga badminton, menjadi pemain ternama dan melatih juara perseorangan negara seperti Rashid Sidek, Wong Mew Choo dan Chong Wei.

Adakah kita dapat melihat lagi kelibat Chong Wei memeluk sifunya Misbun setiap kali menang kejohanan badminton? Adakah Chong Wei akan menurut jejak langkah jurulatih yang amat faham kemampuan dirinya? Semua persoalan ini amat mengganggu sanubari semua peminat yang mengikuti perkembangan badminton.

Semua pihak mengingatkan Misbun agar mengutamakan kepentingan negara namun pihak atasan perlu juga menghormati strategi dan fokus Misbun melatih juara baru badminton negara pada masa depan.

Mungkin kebetulan anaknya, Misbun Ramadan dalam perguruan bapanya, ia sepatutnya suatu perkara paling memberi semangat untuk seorang bapa menjalankan kewajipannya di bawah satu bumbung BAM.

Kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pujuklah Misbun dan pegawai BAM untuk saling bertolak ansur demi kepentingan negara dan peminat seluruhnya..

AZIANA MOHAMD ARIPIN,
Banting, Selangor.

Sabtu, 8 Januari 2011

FAM tidak bela penyokong bola

PADA perlawanan akhir pusingan pertama Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memperuntukkan tempat duduk khas dan kawalan keselamatan sebanyak 15,000 tempat duduk kepada penyokong Indonesia.

Apa yang kita lihat tempat duduk khas itu berlebihan jika dibandingkan kehadiran penyokong Indonesia bahkan penyokong Malaysia ramai yang terpaksa berdiri kerana tiada kekosongan tempat duduk walaupun kita sebagai tuan rumah.

Berikut saya nyatakan keluhan kira-kira 58 penyokong Malaysia yang menyertai rombongan Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor (SSFC) ke Jakarta bagi memberi sokongan kepada pasukan negara. Rombongan adalah terdiri daripada penyokong dari Selangor, Negeri Sembilan, Perak, Melaka dan Johor.

Apa yang berlaku di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta sebaliknya, iaitu pihak Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) langsung tidak memperuntukkan tempat duduk khas untuk penyokong Malaysia. FAM ada menyatakan sebelum kami bertolak ke Jakarta, PSSI bersetuju untuk memberi tiket dan tempat duduk VIP serta kawalan keselamatan kepada penyokong Malaysia.

Amat mengecewakan pada hari perlawanan itu pihak FAM hanya diberikan tiket biasa bercampur penyokong Indonesia, masuk melalui 'pintu dua lokasinya di belakang pintu gol. Alasannya tempat duduk khas tidak mencukupi kerana terlalu banyak permintaan VVIP tempatan.

Di sini, kewibawaan FAM dipersoalkan dalam memperjuangkan mendapatkan tempat duduk khas kepada penyokong negara. Walhal permintaan kita tidak sampai 100 tempat duduk berbanding 15,000 tempat penyokong Indonesia diberikan di Bukit Jalil.

Adakah suara FAM terlalu lemah atau perlu campur tangan kerajaan Malaysia. Sebagai contoh lihat kehebatan penyokong bola sepak Jepun dan Korea Selatan kelihatan akan berada di mana-mana dan diberi tempat duduk khas.

Akhirnya memikirkan faktor keselamatan dan nasihat pihak Kedutaan Malaysia di Jakarta kami dipelawa menyaksikan perlawanan itu di skrin besar di dewan Kedutaan. Penyokong Indonesia dikatakan terlalu fanatik dan agresif dan tiada jaminan kawalan keselamatan.

Keputusan ini amat mengecewakan tambahan ada ahli rombongan kami adalah pelajar sekolah.

Dengan semangat yang cekal untuk negara, 14 orang daripada kami termasuk saya memberanikan diri masuk ke Stadium Bung Karno dalam lautan merah penyokong Indonesia tanpa mempedulikan risiko keselamatan.

RUFFEY,
Negeri Sembilan.

Famemas Calender 2011












Selasa, 4 Januari 2011

Majlis Skim Hadiah Kemenangan Sukan MSN

Kelab Famemas telah menghadiri Majlis Skim Hadiah Sukan di Majlis Sukan Negara tempoh hari. Berikut adalah foto-foto yang sempat dirakamkan:










Pemain bola sepak negara perlu diberi pendedahan

KEJAYAAN pasukan bola sepak negara menjuarai Piala Suzuki AFF baru-baru ini menjadikan sokongan rakyat Malaysia terhadap sukan bola sepak negara menggunung tinggi.

Namun, persoalannya, apakah kesinambungan daripada kejayaan anak buah jurulatih K Rajagobal ini?

Justeru, harapan saya supaya kecemerlangan pasukan negara membuka mata semua pihak terutama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Kementerian Belia dan Sukan bagi merangka perancangan untuk pemain negara yang menunjukkan pencapaian cemerlang.

Pihak berkenaan perlu memikirkan apakah wajar jika sekumpulan anak muda yang bersemangat tinggi ini meluaskan pengaruh dalam liga kebangsaan saja sedangkan jika digilap, bakat mereka boleh berkembang seperti pemain bola sepak di persada antarabangsa.

Adakah kita ingin melihat pemain muda ini menunggu tawaran bagus daripada pasukan liga lain seperti SriWijaya dari Liga Indonesia yang membuat tawaran kepada Safee Sali baru-baru ini?

Pastinya peminat ingin tahu apakah perancangan proaktif untuk pemain ini.

Mungkin pemain ini boleh diketengahkan untuk mencuba nasib mereka di kelab Liga Eropah di Eropah yang lebih kompetitif seperti pasukan Cardiff City atau didedahkan dengan peluang berlatih bersama pasukan di Liga Slovakia yang mana pasukan Harimau Muda pernah diberi peluang untuk berlatih.

Malah, pemain sendiri sudah menyuarakan kesediaan untuk berubah angin demi mempertingkatkan kemahiran serta pengalaman.

Diharap pihak berkenaan dapat membantu merealisasikan hasrat pemain negara kerana perjalanan mereka masih jauh.

PEMINAT FANATIK HARIMAU MALAYSIA,
Puchong, Selangor.

Isnin, 3 Januari 2011

Peminat setia bola sepak mahu Piala Suzuki diarak seluruh negara

SAYA ingin mengucapkan ribuan tahniah dan terima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), barisan jurulatih Malaysia, pemain dan juga penyokong Malaysia kerana berjaya mengembalikan kegemilangan bola sepak negara.

Tanpa semangat juang, usaha dan sokongan dari semua pihak, kita tidak mungkin mencipta sejarah menjuarai Piala Suzuki AFF kali ini.

Impian warga Malaysia selama 14 tahun untuk melihat Lagu Negaraku berkumandang di pentas Piala Suzuki AFF Suzuki akhirnya tercapai.

Sehubungan itu, saya berpendapat adalah wajar penantian peminat bola sepak negara kali ini dibalas dengan mengusung dan mempertontonkan Piala Suzuki AFF ke seluruh negara sebagai tanda ucapan terima kasih kepada peminat bola sepak tempatan.

Selain menjadikan Piala Suzuki AFF sebagai tatapan umum, ia juga mampu menjadikan pemain muda yang meminati sukan bola sepak untuk lebih bersemangat dalam memajukan bola sepak negara.

Penjelajahan piala itu juga akan membuatkan generasi muda di Malaysia lebih mengenali sejarah keagungan bola sepak negara yang pada tahun ini dinobatkan selaku Raja Bola Sepak Asean.

Tidak mustahil jika acara sebegini dilakukan pasti akan menyemarakkan lagi semangat penyokong Malaysia untuk terus menyokong bola sepak tempatan di pentas antarabangsa.

Kita tidak memerlukan pemain import atau orang asing untuk muncul juara, kerana kita memiliki pemain dan jurulatih pelbagai kaum dalam pasukan Malaysia yang lebih dikenali dengan bangsa 1Malaysia.

Apapun tahniah untuk pasukan Malaysia.

Semangat Sang Harimau Malaya pasti membara dan menggegarkan dunia satu hari nanti.

Malaysia Boleh!

MOHD FIQRI PENYOKONG SETIA,