CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Isnin, 3 Januari 2011

Peminat setia bola sepak mahu Piala Suzuki diarak seluruh negara

SAYA ingin mengucapkan ribuan tahniah dan terima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), barisan jurulatih Malaysia, pemain dan juga penyokong Malaysia kerana berjaya mengembalikan kegemilangan bola sepak negara.

Tanpa semangat juang, usaha dan sokongan dari semua pihak, kita tidak mungkin mencipta sejarah menjuarai Piala Suzuki AFF kali ini.

Impian warga Malaysia selama 14 tahun untuk melihat Lagu Negaraku berkumandang di pentas Piala Suzuki AFF Suzuki akhirnya tercapai.

Sehubungan itu, saya berpendapat adalah wajar penantian peminat bola sepak negara kali ini dibalas dengan mengusung dan mempertontonkan Piala Suzuki AFF ke seluruh negara sebagai tanda ucapan terima kasih kepada peminat bola sepak tempatan.

Selain menjadikan Piala Suzuki AFF sebagai tatapan umum, ia juga mampu menjadikan pemain muda yang meminati sukan bola sepak untuk lebih bersemangat dalam memajukan bola sepak negara.

Penjelajahan piala itu juga akan membuatkan generasi muda di Malaysia lebih mengenali sejarah keagungan bola sepak negara yang pada tahun ini dinobatkan selaku Raja Bola Sepak Asean.

Tidak mustahil jika acara sebegini dilakukan pasti akan menyemarakkan lagi semangat penyokong Malaysia untuk terus menyokong bola sepak tempatan di pentas antarabangsa.

Kita tidak memerlukan pemain import atau orang asing untuk muncul juara, kerana kita memiliki pemain dan jurulatih pelbagai kaum dalam pasukan Malaysia yang lebih dikenali dengan bangsa 1Malaysia.

Apapun tahniah untuk pasukan Malaysia.

Semangat Sang Harimau Malaya pasti membara dan menggegarkan dunia satu hari nanti.

Malaysia Boleh!

MOHD FIQRI PENYOKONG SETIA,

0 Komen Anda: