CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Jumaat, 14 Januari 2011

Pemain Harimau Malaya jangan lupa diri jika terima tawaran luar

BELUM terlambat untuk rakyat Malaysia mengucapkan tahniah kepada pemain, jurulatih dan pengendali pasukan Harimau Malaya yang menjuarai Piala Suzuki AFF 2010.

Kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai badan induk bola sepak tanah air, tahniah kerana berusaha untuk memastikan pasukan Malaysia dalam keadaan amat selesa ketika mengharungi perlawanan akhir yang sangat mencabar.

Pasukan Malaysia harus bersedia meneruskan langkah gagah memastikan kejuaraan pada beberapa kejohanan seperti Sukan SEA di Indonesia penghujung tahun ini.

Kejayaan pasukan Malaysia adalah gabungan persediaan pemain, jurulatih dan FAM dalam menghadapi setiap perlawanan. Pemain yang beraksi dalam pasukan Malaysia juga bermain untuk Liga Malaysia.

Hasil latihan pasukan negeri atau kelab mereka berupaya digabungkan menjadi pasukan kebangsaan.

Pelbagai pihak mula membuka mata untuk mendapatkan pemain kita. Pengurusan pasukan kita perlu bersikap terbuka dengan tawa-ran terbabit.

Jika masih ada kontrak belum tamat, sebagai kumpulan pengurusan profesional berbincanglah untuk mendapatkan keputusan menang-menang.

Kepada pemain, anda ialah warga Malaysia yang berjaya dididik sebagai pemain bola sepak di pentas antarabangsa. Anda dikenali selepas pasukan dipimpin jurulatih dan FAM mencapai kejayaan. Oleh itu, kesetiaan kepada negara menjadi fokus utama.

Anda mengejar kejayaan dan pendapatan lumayan tetapi keperluan membalas jasa pasukan perlu dipahatkan di hati. Bersedialah menerima pelawaan pasukan lain sama ada tempatan atau luar negeri.

PEMINAT VETERAN,
Jitra, Kedah.

0 Komen Anda: