CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Selasa, 4 Januari 2011

Pemain bola sepak negara perlu diberi pendedahan

KEJAYAAN pasukan bola sepak negara menjuarai Piala Suzuki AFF baru-baru ini menjadikan sokongan rakyat Malaysia terhadap sukan bola sepak negara menggunung tinggi.

Namun, persoalannya, apakah kesinambungan daripada kejayaan anak buah jurulatih K Rajagobal ini?

Justeru, harapan saya supaya kecemerlangan pasukan negara membuka mata semua pihak terutama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Kementerian Belia dan Sukan bagi merangka perancangan untuk pemain negara yang menunjukkan pencapaian cemerlang.

Pihak berkenaan perlu memikirkan apakah wajar jika sekumpulan anak muda yang bersemangat tinggi ini meluaskan pengaruh dalam liga kebangsaan saja sedangkan jika digilap, bakat mereka boleh berkembang seperti pemain bola sepak di persada antarabangsa.

Adakah kita ingin melihat pemain muda ini menunggu tawaran bagus daripada pasukan liga lain seperti SriWijaya dari Liga Indonesia yang membuat tawaran kepada Safee Sali baru-baru ini?

Pastinya peminat ingin tahu apakah perancangan proaktif untuk pemain ini.

Mungkin pemain ini boleh diketengahkan untuk mencuba nasib mereka di kelab Liga Eropah di Eropah yang lebih kompetitif seperti pasukan Cardiff City atau didedahkan dengan peluang berlatih bersama pasukan di Liga Slovakia yang mana pasukan Harimau Muda pernah diberi peluang untuk berlatih.

Malah, pemain sendiri sudah menyuarakan kesediaan untuk berubah angin demi mempertingkatkan kemahiran serta pengalaman.

Diharap pihak berkenaan dapat membantu merealisasikan hasrat pemain negara kerana perjalanan mereka masih jauh.

PEMINAT FANATIK HARIMAU MALAYSIA,
Puchong, Selangor.

0 Komen Anda: